13 daripada 25 tuntutan MA63 Sarawak selesai

58 minutes ago 5
ADVERTISE HERE

MIRI, 13 Sept: Sebanyak 13 daripada 25 tuntutan Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) telah diselesaikan, manakala beberapa tuntutan lain masih dalam proses rundingan antara Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan.

Penolong Setiausaha Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, perkembangan itu mencerminkan kemajuan berterusan dalam usaha Sarawak mendapatkan semula hak yang termaktub dalam MA63.

Menurutnya, antara kejayaan utama yang telah dicapai termasuk kutipan Cukai Jualan Negeri (SST) sebanyak lima peratus ke atas komoditi petroleum yang dieksport, yang memberikan tambahan hasil kepada Sarawak.

“Dengan pengenaan cukai ini, kita telah mendapat dana tambahan sekitar RM3 hingga RM5 bilion setiap tahun. Ini merupakan tambahan kepada pendapatan atau hasil keseluruhan Sarawak,” katanya ketika menyampaikan Taklimat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) pada majlis perasmian konvensyen khas parti Parti Bersatu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak Zon Utara di Stadium Tertutup Miri, di sini, hari ini.

Beliau berkata, Sarawak turut mencapai kemajuan dalam beberapa perkara lain termasuk kuasa kawal selia pengedaran gas, pindaan Perkara 1(2), Perkara 160(2) dan Perkara 161A Perlembagaan Persekutuan, selain pengiktirafan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sebagai jabatan teknikal bagi pelaksanaan projek tertentu di Sarawak.

Katanya, kerajaan negeri turut berjaya mendapatkan semula sebahagian tanah yang sebelum ini diserahkan kepada Kerajaan Persekutuan bagi tujuan pembangunan projek tetapi tidak lagi diperlukan.

“Setakat 2025, sebanyak 64 lot tanah telah selesai diserahkan kembali kepada Kerajaan Sarawak dan usaha untuk mendapatkan semula lot-lot lain masih diteruskan,” katanya.

Sharifah Hasidah berkata, beberapa perkembangan turut dicapai dalam mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Sabah, pada Jumaat.

Antaranya termasuk persetujuan untuk mempercepatkan pengisian perjawatan Perkhidmatan Awam Persekutuan di Sarawak secara berperingkat, selain usaha memperkukuh dasar Borneonisasi.

Beliau berkata, Sarawak juga terus memperjuangkan cadangan memindahkan pelancongan daripada Senarai Persekutuan kepada Senarai Bersama supaya kuasa berkaitan dasar dan pengawalseliaan sektor itu dapat dikongsi antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak.

Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri turut mengumumkan persetujuan kerajaan secara prinsip untuk meningkatkan nisbah perwakilan Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak, selaras dengan semangat MA63.

“Perkara ini belum selesai sepenuhnya tetapi Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah memberi komitmen untuk memastikan nisbah perwakilan dinaikkan bagi kerusi Sabah dan Sarawak,” katanya.

Tambah beliau, antara perkara yang masih menjadi keutamaan Sarawak ialah tuntutan berkaitan autonomi kesihatan, termasuk desentralisasi dan penurunan kuasa supaya negeri mempunyai lebih banyak kuasa untuk mengurus aspek kesihatan mengikut keperluan tempatan.

Menurutnya, Sarawak turut berpendirian tegas terhadap beberapa perkara yang dianggap tidak boleh dikompromi, termasuk kuasa imigresen, hak terhadap hasil bumi dalam sempadan Sarawak, hak berkaitan pelantar benua serta royalti dan hasil petroleum.

“Perjuangan kita ini bukan mudah. Harapan sangat tinggi, tetapi kita akan terus memperjuangkan hak kita supaya dihormati dan dilaksanakan berdasarkan Perlembagaan serta MA63,” ujarnya. – TVS

Read Entire Article