249 pengunjung jalani saringan kesihatan, 42 peratus hidap darah tinggi

35 minutes ago 1
ADVERTISE HERE

BETONG, 27 Sept: Seramai 249 pengunjung menjalani saringan kesihatan sepanjang dua hari Program Sarawakku Sayang (SKS) di Betong, dengan 42 peratus daripada mereka didapati mempunyai masalah tekanan darah tinggi.

Pegawai Perubatan Pejabat Kesihatan Bahagian Betong, Dr Hilda Michael berkata, masalah kolesterol turut dikenal pasti menerusi saringan dijalankan.

Dr Hilda Michael, Pegawai Perubatan Pejabat Kesihatan Bahagian Betong. Foto Nadim Bokhari (TVS)

Menurutnya, sambutan terhadap perkhidmatan kesihatan disediakan sepanjang program itu amat memberangsangkan.

“Setakat hari ini, setelah kita menjalankan saringan kesihatan selama dua hari, sebanyak 249 pengunjung melakukan saringan kesihatan.

“Daripada 249 orang itu, sebanyak 42 peratus didapati mempunyai masalah tekanan darah tinggi, kemudian diikuti masalah kolesterol,” katanya.

Selain saringan kesihatan, pihaknya turut menyediakan pameran dan promosi kesihatan serta pemeriksaan kecergasan oleh pasukan fisioterapi.

Pada masa sama, sebanyak 100 dos vaksin influenza percuma dibawa khas untuk diberikan kepada golongan yang layak sepanjang program berkenaan.

Daripada jumlah itu, 83 dos diberikan setakat tengahari Ahad, dengan baki 17 dos ditawarkan sehingga jam 3 petang hari ini.

Dr Hilda berkata, vaksin influenza percuma diberikan kepada individu berusia 50 tahun ke atas yang mempunyai komorbiditi seperti tekanan darah tinggi, diabetes dan kolesterol, selain mereka berusia 60 tahun ke atas walaupun tidak mempunyai penyakit berkenaan.

“Vaksin kami pun sudah hampir habis. Sambutan memang sangat memberangsangkan dan staf kami sibuk sepanjang hari kerana kita beroperasi dari pukul 8 pagi sehingga 9 malam,” ujarnya.

Tambahnya, vaksin influenza masih boleh diperoleh secara percuma di klinik kesihatan di kawasan Betong.

Zharif Anwar, Penjawat Awam. Foto Nadim Bokhari (TVS)

Sementara itu, pengunjung, Zharif Anuar menyifatkan SKS sebagai platform yang baik untuk masyarakat mengenali dengan lebih dekat perkhidmatan serta inisiatif yang disediakan oleh pelbagai agensi kerajaan.

Katanya, program itu turut memberi peluang kepada pengunjung mendapatkan maklumat yang sebelum ini mungkin tidak diketahui mereka, selain menjalani pemeriksaan kesihatan.

“Kami harap program seperti ini diteruskan pada masa akan datang kerana ia banyak memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai perkhidmatan yang ada,” jelasnya.

Rabilian Jeti (kiri) sedang menyusun puzzle di reruai KKM sementara menunggu giliran untuk saringan kesihatan. Foto Nadim Bokhari (TVS)

Seorang lagi pengunjung, Rabilian Jeti berkata, program berkenaan memudahkan masyarakat mendapatkan penerangan secara langsung mengenai pelbagai inisiatif kerajaan.

“Kita dapat tahu apa inisiatif kerajaan yang ada untuk kita. Sangat jelas dan kita boleh terus bertanya kepada petugas yang berada di sini.

“Selain itu, ada juga saringan dan konsultasi kesihatan, jadi kita boleh datang untuk mengetahui keadaan kesihatan kita,” katanya.

Beliau berharap lebih banyak aktiviti yang melibatkan golongan remaja dapat diperkenalkan dalam penganjuran akan datang bagi menggalakkan penyertaan mereka serta meningkatkan pengetahuan mengenai pelbagai inisiatif di Sarawak.-TVS

Read Entire Article