ADVERTISE HERE
KUCHING, 1 Okt: Pendekatan 3R iaitu Revisit, Rethink dan Recharge mampu memperkasa transformasi organisasi Sarawak menerusi penilaian semula proses, pemikiran baharu serta pembangunan modal insan secara berterusan.
Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, pendekatan itu bukan sekadar membantu organisasi menambah baik sistem sedia ada, malah penting dalam membina pemimpin masa depan dan memastikan kesinambungan kepimpinan.
“Revisit melibatkan penilaian semula terhadap kekuatan, kelemahan dan jurang sedia ada, khususnya sebelum sesuatu proses didigitalkan,”katanya ketika berucap sempena Sarawak Corporate Leadership Summit 2026 (SCOPE) pada hari ini.
Rethink pula menurut beliau menggalakkan organisasi mencari kaedah lebih berkesan melalui penyederhanaan prosedur, perkongsian sumber dan kerjasama, selain menyesuaikan penyampaian perkhidmatan dengan keperluan semasa.
Sementara itu, katanya Recharge memberi tumpuan kepada pembangunan modal insan termasuk kemahiran digital, penggunaan kecerdasan buatan (AI) secara bertanggungjawab dan pengukuhan kepimpinan.
Beliau berkata, transformasi organisasi perlu menjadi sebahagian daripada budaya kerja harian dan bukan sekadar melibatkan penstrukturan semula atau pengenalan sistem baharu.
Menurutnya, kepimpinan memainkan peranan penting dalam memacu transformasi, namun kejayaan perlu diukur melalui perubahan yang bermakna dan boleh dinilai.
Menerusi Sarawak Development and Investment Programme (SADIP), beliau mendedahkan pendekatan 3R turut digunakan dalam perancangan penggantian kepimpinan dengan mengenal pasti bakat serta memperkukuh keupayaan dalam aspek strategi, kewangan, risiko dan tadbir urus.
Mohamad Abu Bakar berkata, dengan Sarawak kini memasuki suku terakhir 2026, tempoh menuju 2030 semakin singkat.
Justeru, beliau berharap pendekatan berkenaan dapat memperkukuh ekosistem syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan badan berkanun Sarawak agar terus memainkan peranan lebih besar dalam merealisasikan aspirasi pembangunan negeri.
Beliau turut menggesa organisasi supaya berani mencabar kaedah lama, mengemukakan idea baharu dan menterjemahkannya kepada tindakan. – TVS

3 hours ago
9








English (US) ·