43 peratus penerima bantuan JKM kini berdikari menerusi WellBest

5 hours ago 9
ADVERTISE HERE

KUCHING, 1 Okt: Sebanyak 43 peratus peserta Program Usahawan WellBest Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak telah mencapai sasaran kejayaan ditetapkan termasuk beralih daripada penerima bantuan kebajikan kepada usahawan yang mampu berdikari.

Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Mohammad Razi Sitam berkata, pencapaian itu menjadi antara sasaran utama program berkenaan dalam membantu penerima bantuan kebajikan membina sumber pendapatan menerusi bidang keusahawanan.

“JKM Sarawak bersama semua Pejabat Kebajikan Masyarakat di setiap bahagian di seluruh Sarawak telah berusaha melahirkan usahawan WellBest. Boleh dikatakan 43 peratus telah mencapai sasaran yang kita tetapkan untuk berjaya.

“Ramai juga yang dahulunya merupakan penerima bantuan kebajikan kini sudah keluar daripada sistem bantuan. Mereka sudah mampu berdikari dan tidak lagi menjadi penerima bantuan kebajikan,” katanya ketika ditemui media pada program Business Matching Walkabout sempena Karnival Wellbest Sarawak 2026 di Metrocity Event Centre (MCEC) di sini, hari ini.

Menurutnya, karnival berkenaan yang berlangsung hari ini sehingga 4 Oktober  menghimpunkan 100 usahawan dari seluruh Sarawak bagi memperkenalkan serta memperluas pasaran produk mereka.

Katanya, usahawan terdiri antaranya daripada ibu tunggal dan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) yang dibimbing menerusi pelbagai program keusahawanan dengan kerjasama Sarawak Economic Development Corporation (SEDC), Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED) serta Institut Keusahawanan Negara (INSKEN).

“Kita membimbing mereka daripada peringkat awal sehingga mereka berjaya mendapatkan lesen perniagaan dan menjalankan perniagaan sendiri.

“Ada dalam kalangan mereka yang dahulunya merupakan penerima bantuan kebajikan tetapi kini sudah tidak lagi menerima bantuan kerana telah mencapai sasaran pendapatan yang ditetapkan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Karnival Wellbest Sarawak 2026 menyasarkan jumlah jualan keseluruhan sebanyak RM500,000 sepanjang empat hari penganjurannya.

Menurut Razi, sasaran itu turut menjadi platform untuk mengukur prestasi usahawan yang mempamerkan pelbagai produk termasuk makanan kering, makanan basah, makanan dan minuman serta menawarkan perkhidmatan seperti urutan, spa dan rawatan kuku. – TVS

Read Entire Article