ADVERTISE HERE
KUCHING, 22 Sept: Sebanyak 538 daripada keseluruhan 638 projek di bawah Agensi Pembangunan Bersepadu Wilayah Samarahan (IRSDA) telah siap sepenuhnya dengan perbelanjaan keseluruhan melebihi RM1.264 bilion.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pemandu IRSDA, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pencapaian itu melibatkan 84.32 peratus daripada keseluruhan peruntukan RM1.5 bilion yang telah dibelanjakan.
Menurutnya, sebanyak 30 projek masih dalam proses pelaksanaan, manakala 67 projek berada di peringkat perancangan dan tujuh lagi dikategorikan sebagai Projek KIV.
Daripada keseluruhan peruntukan berkenaan, katanya, sebanyak 1.34 peratus atau RM20,108,651.07 merupakan komitmen bagi projek dalam pelaksanaan, manakala RM215,029,470 atau 14.34 peratus merupakan siling projek dalam perancangan.
“84.32 peratus sudah dibelanjakan masih lagi yang lain-lainnya untuk projek-projek yang belum dilaksanakan ataupun belum siap projek-projek yang belum dilaksanakan tidaklah begitu besarlah walaupun jumlahnya nampak besar tetapi projek-projek besar sudah dilaksanakan.
“Kita sangat gembira dengan prestasi ini bukan nak membuat perbandingan dengan agensi-agensi pembangunan dan pelaksanaan di kawasan-kawasan lain tetapi mereka mengatakan bahawa kita ada yang terhadapan apabila melaksanakan projek untuk agensi-agensi seperti ini,” katanya semasa sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Agensi Pembangunan Bersepadu Wilayah Samarahan (IRSDA) Bil 2/2026 di Kuching pada Selasa.
Karim turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak dan agensi yang terlibat dalam memastikan perancangan serta projek di bawah IRSDA dapat dilaksanakan dengan baik dan berkesan.
Tambahnya, kecemerlangan dan kelancaran gerak kerja IRSDA mencerminkan komitmen Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam memastikan desentralisasi projek ke peringkat bawah dapat menjamin pembangunan terus bergerak, sekali gus memastikan kawasan luar bandar dan pesisir pantai di Samarahan tidak ketinggalan daripada arus pembangunan bandar.
Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu IRSDA Bil 2/2026 turut membincangkan status pelaksanaan projek daripada agensi pelaksana serta setiap agenda pembangunan Bahagian Samarahan bagi memastikan pembangunan wilayah itu terus dipacu ke arah yang lebih mampan, inklusif dan berimpak tinggi.
Turut hadir Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Malaysia merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kecil Pembangunan Pelancongan IRSDA, Datuk Rubiah Wang dan Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kecil Pesisir Pantai, Ban, Sungai dan Perparitan IRSDA, Datuk Ir. Aidel Lariwoo. -TVS

1 day ago
13








English (US) ·