ADVERTISE HERE
KUCHING, 28 Sept: Sekitar 600 daripada 1,200 sekolah yang dikenal pasti berada dalam kategori daif di Sarawak telah siap dibaik pulih setakat ini.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, usaha menaik taraf sekolah daif dilaksanakan secara berperingkat menggunakan peruntukan yang disediakan.
Menurutnya, peruntukan RM1 bilion yang disalurkan sebelum ini telah digunakan sepenuhnya, namun masih terdapat projek yang sedang dalam pembinaan dan sebahagiannya belum melalui proses tender.
“Secara keseluruhannya, kira-kira 600 sekolah telah kita siapkan. Terdapat beberapa kategori sekolah daif yang ditetapkan oleh Jabatan Pendidikan, iaitu daripada tahap satu hingga tujuh. Sekolah paling daif ialah tahap tujuh, diikuti tahap enam, lima, empat, tiga hingga satu.
“Jadi, jumlah keseluruhan sekolah yang dikenal pasti berada dalam keadaan daif sebelum ini ialah 1,200 sekolah,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Pelancaran Pengiktirafan Pendidikan Tidak Formal Sarawak – Kemahiran dan Produktiviti Komuniti di sini, hari ini.
Beliau berkata, pelaksanaan baki projek berdepan kekangan kapasiti, khususnya dari segi jumlah kontraktor yang kompeten dan berkeupayaan melaksanakan kerja pembinaan.
Menurutnya, Jabatan Kerja Raya (JKR) bertanggungjawab menguruskan proses tender bagi projek berkenaan, namun kapasiti kontraktor serta tenaga kerja dalam sektor pembinaan masih terhad.
“Jadi, sebab itulah ia bergantung kepada kapasiti kita sendiri. Kita tidak mempunyai kontraktor yang kompeten dan mencukupi untuk melaksanakan kerja-kerja sekolah ini. Ada ramai tenaga kerja mahir, tetapi terdapat juga pekerja am dan sebagainya. Jadi, kita tidak mempunyai tenaga kerja yang mencukupi,” katanya.
“Kekurangan tenaga kerja, termasuk pekerja mahir dan pekerja am, turut mempengaruhi keupayaan untuk melaksanakan baki projek.Usaha menaik taraf sekolah daif akan diteruskan secara berperingkat mengikut keupayaan dan kapasiti semasa,” ujarnya. -TVS

9 hours ago
2








English (US) ·