BEACON pacu industri acara perniagaan Sarawak berasaskan data

2 hours ago 5
ADVERTISE HERE

KUCHING, 23 Sept: Sarawak memperkukuh industri acara perniagaan menerusi pelancaran Sarawak BEACON, platform risikan data berpusat yang menggabungkan data industri, risikan pasaran dan kerjasama strategik.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata platform itu akan membantu memberikan gambaran lebih jelas mengenai industri acara perniagaan, sekali gus menyokong perancangan dan pembuatan keputusan berasaskan data serta bukti.

“Jika 20 tahun pertama adalah mengenai membina industri, BEACON mewakili risikan yang kita perlukan untuk membimbing 20 tahun seterusnya,” kata beliau.

Beliau berkata demikian menerusi ucapan yang dibacakan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, pada Majlis Makan Malam Gala Ulang Tahun ke-20 Business Events Sarawak, di sini, hari ini.

Menurutnya, Sarawak BEACON akan membantu mengenal pasti peluang, mengukuhkan ekosistem serta memperkemas hala tuju industri acara perniagaan negeri.

Abang Johari berkata industri acara perniagaan bukan sekadar menyumbang kepada ekonomi pelancongan, malah menjadi medium membawa masuk ilmu, kepakaran, rangkaian, inovasi dan peluang pelaburan ke Sarawak.

Katanya, pendekatan itu selari dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) untuk membangunkan Sarawak yang makmur, inklusif dan mampan, termasuk dalam bidang peralihan tenaga, pembuatan termaju, semikonduktor, kecerdasan buatan, ekonomi digital, penjagaan kesihatan dan pembangunan modal insan.

Dalam pada itu, beliau berkata Kuching bakal menjadi tuan rumah Kongres dan Pameran Air Dunia Persatuan Air Antarabangsa 2028 yang dijangka menghimpunkan kira-kira 10,000 perwakilan dari seluruh dunia.

“Nilainya bukan sekadar memperoleh satu lagi kongres antarabangsa utama. Ia mencerminkan reputasi yang telah dibina Sarawak sebagai destinasi acara perniagaan yang dipercayai, selain meningkatkan keupayaan industri tempatan untuk menganjurkan acara bertaraf dunia,” katanya.

Beliau berkata pembangunan Pusat Konvensyen Borneo Kuching 2 (BCCK2), pertambahan hotel, premis acara dan kemudahan sokongan, selain pengukuhan hubungan udara melalui AirBorneo, akan meningkatkan kapasiti Sarawak menjadi tuan rumah mesyuarat, persidangan dan pameran antarabangsa berskala lebih besar.

Katanya, Miri, Sibu dan Bintulu turut berpotensi berkembang sebagai bandar acara perniagaan berdasarkan kekuatan sektor masing-masing, termasuk tenaga dan pelancongan di Miri, pendidikan dan industri di Sibu serta tenaga dan perindustrian di Bintulu.

Abang Johari berkata pembangunan industri acara perniagaan pada masa hadapan perlu berpaksikan data, risikan, kerjasama dan bukti bagi memastikan manfaatnya dapat dirasai lebih meluas di seluruh Sarawak.

“Bab seterusnya bukan sekadar membawa dunia ke Sarawak, tetapi tentang apa yang boleh dicapai Sarawak apabila dunia berada di sini, dan apa yang Sarawak boleh berikan kembali kepada dunia,” katanya. -TVS

Read Entire Article