ADVERTISE HERE
KUCHING, 23 Sept: Sebanyak 13 laporan kajian di bawah Geran Kursi Premier diserahkan kepada beberapa agensi berkaitan bagi membantu memperkukuh dasar, menambah baik proses kerja dan menyokong perancangan pembangunan Sarawak.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, projek penyelidikan berkenaan meliputi sumber mineral, pentadbiran tanah, pendaftaran vesel marin serta perubahan iklim dan banjir.
Selain itu, kajian turut melibatkan sektor perumahan, pelancongan, infrastruktur bandar serta teknologi sokongan keputusan.
“Saya melihat program ini sebagai satu pelaburan pengetahuan yang penting. Tetapi saya ingin menegaskan satu perkara iaitu penyelidikan tidak boleh berakhir sekadar sebagai laporan yang tersimpan di rak,” kata beliau.
Abang Johari berkata demikian pada Makan Malam Perasmian Penutupan Hari Inovasi dan Integriti Tanah dah Survei (HIITS) 2026 di sini, hari ini.
Menurut beliau, dapatan penyelidikan perlu diuji serta diintegrasikan, sekiranya sesuai terus diterjemahkan kepada dasar, standard teknikal, sistem, projek perintis atau penyelesaian sebenar.
Sementara itu, Pengarah Tanah dan Survei Sarawak, Datu Awang Zamhari Awang Mahmood berkata laporan hasil inisiatif Makmal Satelit Jabatan Tanah dan Survei (JTS) – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu adalah bagi membantu agensi-agensi meningkatkan kualiti kerja masing-masing.
“Hasil daripada 13 projek kajian tersebut perlu diterjemahkan kepada tindakan yang boleh dimanfaatkan oleh Jabatan serta agensi berkaitan dalam memperkukuh dasar, menambah baik proses kerja dan menyokong perancangan pembangunan Sarawak
berasaskan dapatan dan syor setiap kajian,” ujar beliau.
Awang Zamhari berkata, kajian tersebut dilaksanakan oleh jabatan dan agensi kerajaan negeri dengan kepakaran khusus untuk meneliti isu-isu tertentu secara lebih mendalam.
Menurutnya, antara agensi yang akan menerima laporan tersebut ialah Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar; Dewan Bandaraya Kuching Utara; Kementerian Kesihatan Awam; Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak.
Selain itu, Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif Dan Seni Persembahan Sarawak; Jabatan Pertanian Sarawak; Jabatan Pengairan dan Saliran dan JTS. – TVS

3 hours ago
5








English (US) ·