ADVERTISE HERE
SARATOK, 1 Okt: Sebanyak 248 unit lampu solar akan dipasang di 79 rumah panjang, dua gereja dan sebuah sekolah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian menerusi projek bernilai RM1.7 juta.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Friday Belik, berkata kontraktor yang dilantik perlu mempercepatkan kerja pemasangan supaya kemudahan itu dapat dimanfaatkan penduduk dalam tempoh ditetapkan.
Pada masa sama, beliau mengingatkan kontraktor supaya memastikan kualiti barangan dan kerja pemasangan memenuhi piawaian ditetapkan serta setimpal dengan peruntukan yang disalurkan kerajaan.
“Kita mengharapkan kontraktor yang dipilih melalui proses tender supaya mempercepatkan pemasangan lampu solar ini demi kebaikan rumah panjang dan penerima projek.
“Pada masa sama, kita mengharapkan kualiti barangan yang dibekalkan dan kerja yang dilakukan adalah memuaskan serta memberi nilai terbaik kepada setiap peruntukan kewangan yang disalurkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui TVS selepas Majlis Penyerahan Tapak Projek Membekal dan Memasang Lampu Solar Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) bagi DUN Krian di Dewan Rumah Dayak Saratok, di sini, hari ini.
Projek Fasa Dua itu membabitkan 248 unit lampu solar yang akan dipasang di 79 rumah panjang, dua gereja dan sebuah sekolah sebagai sebahagian usaha meningkatkan kemudahan asas di kawasan luar bandar.
Kemudahan itu dijangka meningkatkan pencahayaan di kawasan penempatan, sekali gus memberi lebih keselesaan dan membantu aspek keselamatan penduduk, khususnya pada waktu malam.
Tuai Rumah Krangan, Entinggi, berkata pemasangan lampu solar turut memberi alternatif kepada penduduk ketika berlaku gangguan bekalan elektrik.
Katanya, kemudahan itu dapat mengurangkan kebergantungan kepada bekalan elektrik daripada grid utama, selain memastikan kawasan rumah panjang terus mempunyai pencahayaan ketika berlaku gangguan bekalan.
“Satu lagi kelebihan lampu solar ini ialah ia memberi pencahayaan secara berterusan kepada rumah panjang dan mengurangkan kebergantungan kepada grid elektrik utama.
“Kadang-kadang berlaku gangguan bekalan elektrik dan dengan adanya lampu solar, masalah itu dapat dikurangkan,” katanya.
Sementara itu, Tuai Rumah Mapar Asal, Garan, berkata pencahayaan yang lebih baik turut meningkatkan tahap keselamatan penduduk, terutama pada waktu malam.
Katanya, kawasan rumah panjang yang sebelum ini gelap akan lebih mudah dipantau, sekali gus membantu mengesan pergerakan mencurigakan dan mengurangkan risiko kejadian tidak diingini.
“Keselamatan di rumah panjang akan bertambah baik kerana kawasan yang diterangi lebih mudah dipantau.
“Jika ada individu yang cuba melakukan perbuatan tidak baik atau mencuri, kita lebih mudah melihat pergerakan mereka kerana kawasan yang dipasang lampu tidak lagi gelap,” katanya.

5 hours ago
10








English (US) ·