ADVERTISE HERE
KUCHING, 1 Okt: Sebanyak 80 pasukan dari 22 negara dijangka menyertai Sarawak International Dragon Boat Regatta ke-12 yang berlangsung dari 23 hingga 25 Oktober 2026, dengan jumlah keseluruhan peserta mencecah 2,450 orang.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, sebanyak tujuh kategori dipertandingkan pada edisi kali ini termasuk dua kategori baharu iaitu Malaysia Closed Men 12’s dan International Senior Bs Open 12’s.
Menurutnya, kategori baharu berkenaan memberi kelainan apabila membabitkan penyertaan peserta berusia 50 tahun ke atas.
“Jumlah hadiah wang tunai keseluruhan bagi acara ini adalah RM200,000, selain piala dan pingat.
“Penyertaan melibatkan wakil dari beberapa negeri dan wilayah di Malaysia termasuk Sarawak, Sabah, Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Putrajaya, selain Jabatan Perdana Menteri.
“Turut mengambil bahagian ialah peserta dari tujuh negara baharu iaitu Liechtenstein, Vietnam, Kemboja, Argentina, Fiji, Moldova dan Mexico,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Sidang Media Jawatankuasa Induk Regata Sarawak dan Penyerahan Cek Cura Penaja di Kuching, hari ini.
Tujuh kategori yang dipertandingkan ialah International Premier Open 20’s, International Premier Open 12’s, International Premier Mixed 20’s, International Premier Women 12’s, International Senior Bs Open 12’s, International Cancer Survivors 12’s dan Malaysia Closed Men 12’s.
Sarawak International Dragon Boat Regatta ke-12 merupakan antara acara utama Sarawak Regatta-Kuching Waterfront Festival 2026 yang berlangsung dari 23 Oktober hingga 1 November di Tebingan Sungai Sarawak, Kuching.
Majlis Eye-Dotting dan simbolik penyerahan pendayung Sarawak Regatta dijadualkan berlangsung pada 23 Oktober dan akan disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Sepanjang 10 hari penganjuran, Sarawak Regatta-Kuching Waterfront Festival 2026 turut menampilkan pelbagai aktiviti, antaranya Pentas Kesenian yang merangkumi Malam Budaya Se-Borneo, Sound of Borneo, Kids Got Talent, Waterfront Idol, Sarawak Got Talent, Battle of the Band dan Rekaan Busana Etnik.
Setiap pertandingan kebudayaan berkenaan turut menawarkan hadiah wang tunai kepada para pemenang.
Selain itu, Showcase Usahawan Sarawak, Festival Kraf Borneo Sarawak dan Festival Gendang Melayu Sarawak turut dianjurkan, dengan pelbagai pengisian termasuk persembahan bermukun, gendang Melayu Sarawak, permainan alat muzik sape, persembahan kumpulan buskers serta persembahan kebudayaan etnik Sarawak.-TVS

1 hour ago
8








English (US) ·