MTCP teliti isu motif latar belakang paparan di KIA

1 hour ago 6
ADVERTISE HERE

KUCHING, 1 Okt: Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP) akan meneliti isu paparan latar belakang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA) yang dipersoalkan kerana didakwa tidak mencerminkan identiti budaya dan warisan Sarawak.

Menterinya, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pihaknya mengambil serius perkara itu dan akan mendapatkan maklumat lanjut berhubung sumber serta pihak yang bertanggungjawab menyediakan dan memasang paparan berkenaan.

Menurutnya, berdasarkan foto yang tular di media sosial, motif pada paparan tersebut didapati kelihatan seperti dijana menggunakan kecerdasan buatan (AI) dan bukannya motif tradisional Sarawak.

“Motif yang dipaparkan dalam foto yang tular di media sosial itu didapati dijana menggunakan AI dan bukannya motif asal Sarawak.

“Perkara ini akan diteliti dari segi sumber serta pihak yang bertanggungjawab memasangnya dan sekiranya didapati tidak mencerminkan budaya serta warisan Sarawak, motif berkenaan wajar digantikan dengan motif yang sebenar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sidang Media Jawatankuasa Induk Regata Sarawak dan Penyerahan Cek Cura Penaja di Kuching, hari ini.

Abdul Karim berkata, paparan di KIA perlu mencerminkan identiti seni dan kebudayaan Sarawak dengan tepat, terutama kerana lapangan terbang berkenaan merupakan antara pintu masuk utama negeri ini.

Katanya, usaha memperbaiki paparan berkenaan penting bagi memastikan gambaran mengenai budaya dan warisan Sarawak yang disampaikan kepada pengunjung adalah tepat dan autentik.

Isu berkenaan tercetus selepas beberapa pihak mempersoalkan motif pada paparan tersebut yang didakwa menyerupai tenunan ‘ikat’ Indonesia, manakala hanya sebahagian kecil dikatakan mempunyai persamaan dengan motif tradisional Pua Kumbu Sarawak.

Presiden Persatuan Kraftangan, Seni dan Cenderamata Sarawak, Gerald Goh sebelum ini mendakwa kira-kira 98 peratus motif pada paparan berkenaan kelihatan seperti tenunan ‘ikat’ Indonesia dan menggesa pihak berkaitan menilai semula reka bentuk tersebut.-TVS

Read Entire Article