AIM25: Mawat cipta sejarah, pemenang sulung Lagu Borneo Terbaik

15 minutes ago 2
ADVERTISE HERE

KUCHING, 27 Sept: Penyanyi muda kelahiran Sri Aman, Mawat atau nama sebenarnya Gibrael Mawat Clement Saran, 24, melakar sejarah tersendiri apabila dinobatkan sebagai pemenang sulung Anugerah Lagu Borneo Terbaik pada Anugerah Industri Muzik ke-25 (AIM25).

Beliau meraih anugerah berkenaan menerusi lagu Dayang Bintang, hasil ciptaan dan lirik Maxwel Franklin Saran, yang diterbitkan di bawah MVM Music dan Assapai Music Production.

Kategori baharu itu diperkenalkan pada AIM25 sebagai pengiktirafan terhadap karya muzik dari Borneo, sekali gus membuka ruang kepada lebih banyak karya tempatan diketengahkan dalam industri muzik tanah air.

Anugerah berkenaan disampaikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Abang Haji Openg, pada malam kemuncak AIM25.

Mengulas kejayaan itu, Mawat berkata, beliau tidak menyangka kategori Lagu Borneo Terbaik diperkenalkan pada edisi kali ini, apatah lagi apabila Dayang Bintang dipilih sebagai pemenang pertama.

Beliau berharap pengiktirafan itu dapat meningkatkan keyakinan rakyat Sarawak terhadap kemampuan anak tempatan untuk melangkah lebih jauh menerusi karya muzik sendiri.

“Saya harap kemenangan ini dapat membuka mata rakyat Sarawak bahawa kita boleh melangkah lebih jauh menerusi hasil karya sendiri, tidak kira sama ada tradisional ataupun moden.

“Yang penting, kita teruskan supaya mimpi itu menjadi kenyataan,” katanya ketika sidang media AIM25 di sini, hari ini.

Mawat turut menyifatkan kemenangan itu sebagai penghargaan kepada rakyat Sarawak yang sentiasa memberikan sokongan terhadap perjalanan seninya.

Mengulas perancangan selepas ini, beliau berkata, beberapa karya baharu sedang menjadi tumpuan dengan kemungkinan meneroka gabungan elemen muzik moden dan tradisional.

Menurutnya, hala tuju karya pada tahun depan berkemungkinan memberi penekanan kepada muzik tradisional atau gabungan kedua-dua elemen berkenaan.

“Untuk tahun depan, perkembangannya mungkin ke arah karya tradisional atau gabungan kedua-duanya,” katanya.

Kemenangan itu sekali gus menjadikan Dayang Bintang sebagai karya pertama menerima Anugerah Lagu Borneo Terbaik AIM25, selain menandakan satu pencapaian penting buat Mawat dan perkembangan muzik Borneo.-TVS

Read Entire Article