ADVERTISE HERE
KUCHING, 27 Sept: Pencalonan album Gema Bumantara dalam 14 kategori Anugerah Industri Muzik ke-25 (AIM25) sudah cukup menjadi satu kemenangan bermakna buat Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, selepas komitmen berterusan menghasilkan karya berkualiti.
Beliau berkata, usaha menghasilkan album bermutu bukan hanya terletak pada penyanyi, malah turut diperkukuh sumbangan pencipta lagu dan penulis lirik yang menjadi tunjang kepada kekuatan sesebuah karya.
Menurutnya, beliau sentiasa berusaha memastikan setiap album yang dihasilkan mempunyai kualiti terbaik dan layak dipertandingkan dalam AIM.
“Sebenarnya usaha yang kuat daripada mereka yang mencipta lagu, menulis lirik, itu sebenarnya menguatkan lagi album saya,” katanya pada sidang media Anugerah Industri Muzik ke-25 di BCCK sebentar tadi.
Siti Nurhaliza berkata, pengalaman tidak memenangi sebarang kategori pada tahun lalu tidak pernah mematahkan semangatnya, sebaliknya mendorong beliau menghasilkan album yang lebih baik menerusi Gema Bumantara.
Jumlah pencalonan yang diterima tahun ini ujar beliau sudah cukup membanggakan, tanpa menjadikan jumlah trofi sebagai ukuran utama kejayaan.
“Apapun anugerah yang saya menang, berapa banyak ataupun sikit, bagi saya kemenangan itu dah ada daripada diri saya bila Gema Bumantara, 14 kategori saya calon,” katanya.
Beliau menjelaskan, keputusan mencalonkan beberapa lagu dalam kategori tertentu dibuat kerana tidak mengetahui karya mana yang memenuhi kriteria penilaian juri.
Langkah itu turut memberi ruang kepada pencipta lagu dan penulis lirik untuk mendapat pengiktirafan atas sumbangan mereka dalam memperkaya industri muzik tempatan.

15 minutes ago
2








English (US) ·