ADVERTISE HERE
KUCHING, 27 Sept: Legasi dan semangat Allahyarham Pak Ngah terus mekar dalam perjalanan seni Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, khususnya setiap kali mendendangkan lagu-lagu tradisional.
Siti Nurhaliza yang mesra digelar Tok Ti mengakui, Allahyarham Pak Ngah atau Datuk Suhaimi Mohd Zain tidak pernah luput daripada ingatannya, malah semangat dan pengaruh seniman itu sentiasa mengiringinya setiap kali mempersembahkan lagu tradisional.
Menurut beliau, sumbangan Allahyarham dalam perjalanan seninya menjadi antara kenangan bermakna yang terus memberi inspirasi dalam menghayati dan menyampaikan karya muzik tradisional.
“Pak Ngah tak pernah hilang dalam ingatan saya. Semangat dia sentiasa bersama saya, terutamanya kalau saya nyanyikan lagu tradisional,” katanya pada sidang media Anugerah Industri Muzik ke-25 (AIM25) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, sebentar tadi.
Pada AIM25 kali ini, Siti Nurhaliza mempertaruhkan 14 pencalonan menerusi beberapa kategori, sekali gus memperlihatkan kesinambungan perjalanan seninya dalam memperjuangkan muzik tempatan, khususnya irama tradisional.
Pencalonan itu turut mencerminkan usaha berterusan beliau dalam menghasilkan karya berkualiti serta memperluas pengaruh muzik tradisional kepada generasi baharu.
Beliau berkata, penghargaan terhadap karya muzik tradisional bukan sahaja penting dalam memastikan kesinambungan warisan seni, malah menjadi wadah untuk mengenang jasa tokoh muzik yang banyak menyumbang kepada perkembangan industri muzik tanah air.

14 minutes ago
2








English (US) ·