Saribas Cup 2026 satukan komuniti

16 minutes ago 4
ADVERTISE HERE

DEBAK, 27 Sept: Kejohanan Bola Sepak 9-A-Side Saribas Cup 2026 menjadi antara platform untuk menyemarakkan budaya sukan dan mengeratkan hubungan dalam kalangan masyarakat setempat di kawasan Saribas.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas, Datuk Mohammad Razi Sitam berkata, penganjuran kejohanan seperti itu bukan sahaja memberi peluang kepada pemain mengembangkan bakat dalam sukan bola sepak, malah mampu memperkukuh semangat kesukanan dan perpaduan komuniti.

“Pertandingan seperti Saribas Cup ini bukan sahaja menjadi medan untuk anak-anak muda menunjukkan bakat dalam bola sepak, tetapi juga mengeratkan hubungan antara masyarakat.

“Kita mahu aktiviti sukan terus diperkasakan di kawasan Saribas kerana sukan mampu membentuk generasi muda yang aktif, berdisiplin dan mempunyai semangat berpasukan.

“Saya berharap semua pasukan yang mengambil bahagian dapat menunjukkan semangat kesukanan tinggi dan menjadikan kejohanan ini sebagai platform untuk membina persahabatan serta mengeratkan perpaduan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan sepak mula Kejohanan Bola Sepak 9-A-Side Saribas Cup 2026 di Padang Riveria Debak, malam tadi.

Beliau turut berharap penganjuran kejohanan seperti Saribas Cup dapat diteruskan pada masa akan datang dengan penyertaan lebih banyak pasukan dari kawasan sekitar.

Menurutnya, usaha berterusan dalam menyediakan platform sukan di peringkat akar umbi penting bagi mencungkil bakat baharu serta menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup aktif.

Kejohanan Saribas Cup 2026 berlangsung di Padang Riveria Debak dengan menghimpunkan pasukan yang bertanding dalam format sembilan sebelah.-TVS

Read Entire Article