HPTN 2026 di Sarawak buka ruang profesion teknikal Malaysia ke pentas antarabangsa

55 minutes ago 5
ADVERTISE HERE

KUALA LUMPUR, 1 Okt: Hari Profesion Teknikal Negara (HPTN) 2026 bukan sekadar platform mengiktiraf sumbangan golongan profesional teknikal, malah membuka ruang lebih luas kepada pemain industri antarabangsa untuk meneroka peluang kerjasama, kepakaran dan teknologi di Malaysia.

Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, Datu Dr. Cassidy Morris berkata, perkara itu dapat dilihat menerusi minat pemain industri dari beberapa negara untuk menyertai HPTN 2026 yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), Disember ini.

Katanya, antara pemain industri yang menunjukkan minat termasuk dari Jerman, Eropah dan China, sekali gus menjadikan HPTN 2026 sebagai platform yang turut mempunyai dimensi antarabangsa.

“Ini adalah peluang untuk kita di Malaysia dan pemain industri dari negara lain. Mereka sangat berminat untuk bersama kita sebagai rakan kongsi, pempamer dan sebagai satu pasukan untuk HPTN di Kuching,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran HPTN 2026 di ibu negara, hari ini.

Menurutnya, penyertaan pemain industri antarabangsa memberi peluang kepada pengunjung melihat perkembangan teknologi, inovasi dan aktiviti berkaitan profesion teknikal daripada perspektif yang lebih luas, selain membuka ruang kepada peserta meneroka peluang perniagaan.

“Ini masa untuk kita meneroka, mendapatkan pengetahuan perniagaan dan bagi kebanyakan pemain HPTN, kita juga boleh belajar daripada pakar,” katanya.

Cassidy berkata, penganjuran HPTN 2026 di Sarawak turut memberi peluang mengetengahkan perkembangan bidang teknikal, teknologi dan inovasi, selain memperluas penglibatan industri dari seluruh negara dan peringkat antarabangsa.

Beliau berkata, kejayaan sesuatu penganjuran berskala besar bukan hanya bergantung kepada perancangan, sumber dan strategi, sebaliknya memerlukan penglibatan serta rasa tanggungjawab semua pihak bagi memastikan perancangan diterjemahkan kepada hasil.

HPTN 2026 bertemakan “Profesion Teknikal Pemacu Kelestarian” akan berlangsung pada 1 dan 2 Disember ini di BCCK, dengan penganjuran bersama Kementerian Kerja Raya Malaysia, JKR Malaysia, Kerajaan Sarawak dan JKR Sarawak sebagai agensi utama.-TVS

Read Entire Article