ADVERTISE HERE
BETONG, 27 Sept: Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Betong merekodkan kehadiran kira-kira 97,000 pengunjung sepanjang tiga hari penganjurannya di Kompleks Sukan Betong.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Keusahawanan Sarawak, Datuk Gerald Rentap Jabu berkata, SKS Betong merupakan antara penganjuran terbaik dengan penyertaan 156 perkhidmatan daripada 47 agensi kerajaan dan berkaitan.
Menurutnya, program berkenaan memberi peluang kepada rakyat mendapatkan pelbagai perkhidmatan selain mendekatkan agensi kerajaan dengan masyarakat setempat.
“Terima kasih kepada semua yang menjayakan Sarawakku Sayang Bahagian Betong serta penghargaan kepada semua yang hadir.
“Program ini menjadi platform untuk memperkenalkan kepada rakyat pelbagai perkhidmatan yang disediakan oleh kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penangguhan Sarawakku Sayang Bahagian Betong di sini, hari ini.
Gerald yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar menjelaskan, penjawat awam dan agensi kerajaan perlu sentiasa meletakkan diri dalam situasi rakyat bagi memastikan perkhidmatan yang diberikan benar-benar memenuhi keperluan masyarakat.
“Nasihat saya, letakkan diri anda dalam kasut rakyat. Kalau rakyat susah untuk berjumpa dengan kamu, kamu turun dan santuni rakyat.
“Perkhidmatan ini adalah dua hala. Jika rakyat merasakan perkhidmatan yang diberikan tidak memuaskan, buatlah aduan supaya penambahbaikan dapat dilakukan,” ujarnya.
Beliau berkata, usaha memperkukuh program SKS penting bagi memastikan lebih banyak perkhidmatan dapat disampaikan secara terus kepada rakyat di seluruh Sarawak.-TVS

9 hours ago
12








English (US) ·