Abang Johari zahir takziah atas pemergian Tun Dr. Siti Hasmah

43 minutes ago 2
ADVERTISE HERE

BINTULU, 28 Sept: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menzahirkan ucapan takziah kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan seluruh keluarga susulan pemergian Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali.

Ketika berucap pada Majlis Perasmian Sarawak Agrofest 2026 di Lapangan Terbang Lama Bintulu hari ini, Abang Johari terlebih dahulu mengajak hadirin mendoakan agar Allahyarhamah ditempatkan bersama golongan yang beriman serta mendoakan agar keluarga beliau diberikan kekuatan dan kesabaran menghadapi kehilangan berkenaan.

“Saya ingin menyampaikan takziah kepada yang amat berbahagia Tun Dr. Mahathir bin Mohamad di atas pemergian yang amat berbahagia Tun Dr. Siti Hasmah.

“Kita doakan Allahyarhamah bersama orang yang beriman dan seluruh keluarga kita harap mereka sabar dalam menghadapi ujian,” katanya.

Tun Dr. Siti Hasmah, isteri kepada Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur pada pukul 9.20 pagi hari ini pada usia 100 tahun.

Pemergian Allahyarhamah disahkan anaknya, Tan Sri Mokhzani Mahathir kepada BERNAMA.

Dilahirkan pada 12 Julai 1926, Allahyarhamah merupakan antara doktor wanita Melayu terawal di negara ini dan pernah berkhidmat dalam bidang kesihatan awam, selain aktif dalam kegiatan berkaitan kesihatan dan kebajikan masyarakat.

Allahyarhamah berkahwin dengan Tun Dr. Mahathir pada 5 Ogos 1956 dan dikurniakan tujuh cahaya mata. – TVS

Read Entire Article