AI memanglah tak ada jiwa, tapi kita ada

1 hour ago 2
ADVERTISE HERE

Dalam menghadapi cabaran teknologi, kita manusia yang ada jiwa inilah harus bersikap berani dan terbuka.

ronasina

Sudah selalu saya dengar rungutan karyawan tentang senang-senang sahaja orang ‘bukan karyawan’ menghasilkan karya kreatif menggunakan kecerdasan buatan atau AI dan kemudian mengiktiraf diri sendiri sebagai pengkarya tulen. Baru-baru ini di media sosial saya melihat penggiat muzik bercakap pasal ini dengan nada bengang.

Saya berada dalam lingkungan pelukis, penulis dan perekabentuk grafik. Mereka pun telah lama merungut tentangnya. Ada yang memang anti-AI terus. Sama seperti hujah penggiat muzik, kata mereka karya yang dihasilkan AI tidak mempunyai jiwa.

Karyawan ini mengatakan orang yang menggunakan AI untuk menghasilkan kerja seni tidak layak dipanggil karyawan. Mereka cuma menekan butang, kemudian mesin membuat semuanya. Bila siap, mendabik dada mengaku dia sudah mencipta lagu, membuat lukisan dan sebagainya. Bagi sebahagian karyawan, kehadiran AI dianggap sebagai pengancam periuk nasi dan punca pendapatan. Luahan ini memang wajar diberi perhatian serius dan tidak boleh dipandang enteng. Justeru, mari kita bincangkan isu ini dengan memfokuskan kepada bidang muzik dan lagu sebab industri tersebut lebih mudah difahami masyarakat kerana hari-hari kita menyanyi dan mendengar lagu.

Kalau dahulu sebuah syarikat mahu membuat ‘jingle’ atau muzik latar iklan komersial mungkin mereka perlu mencari komposer, penyusun (arranger), pemuzik dan studio. Hari ini, dengan adanya AI seseorang boleh duduk bersendirian di rumah, menaip beberapa arahan dan…tup! Tak sampai dua minit, sebuah lagu sudah tersedia. Penjimatan kos telah banyak dilakukan kerana kita telah ‘melompat’ tradisi pembuatan yang telah lama kita amalkan. Mudah, kan?

Kecewa dengan perkembangan ini, kita menolak karya AI dengan mencemik menyatakan ‘AI tidak ada jiwa’. Ya, memanglah. Tetapi kalau nak ikutkan bab jiwa, alat muzik seperti gitar dan piano pun tak berjiwa malah angkatan pemuzik lama pun pernah menolak ‘synthesizer’ dan ‘drum machine’ yang juga dikatakan tidak mempunyai perasaan. Itu kita faham, semua instrumen dan ‘software’ memang tidak pernah bercinta dan tidak juga pernah kecewa.

Namun begitu, kelebihan teknologi AI pula ialah ia bukan alat pasif seperti gitar. Gitar tidak boleh main sendiri bila disuruh, tetapi AI bila kita beri arahan, “buatkan saya lagu sedih, tempo perlahan, mood kecewa ditinggal kekasih”, sekejap saja ‘dia’ buat.

“Eleh, memanglah boleh! Tapi lagu AI tetap tak ada jiwa.” tempelak karyawan lagu. Tak ada jiwa lagi, alasannya!

Tahukah anda ada satu kajian yang diterbitkan dalam jurnal ‘Frontiers in Psychology’ pada Ogos lalu, eksperimen ‘blind listening’ terhadap 71 peserta yang memang terlatih dalam bidang asas muzik. Mereka telah diperdengarkan dengan muzik yang dibuat oleh manusia, juga muzik yang dibuat seratus-peratus oleh AI, serta muzik yang dibuat dengan kerjasama manusia-AI. Mereka tidak diberitahu tentang itu. Menariknya, peserta yang memang mempunyai pengetahuan asas tentang muzik ini juga tidak dapat mengenal pasti dengan konsisten mana satu manusia dan mana satu mesin.

Rupanya ini ada sangkut-paut dengan psikologi. Apabila diberitahu awal lagu tersebut hasil janaan AI, penilaian kita akan berubah. Maknanya label ‘ini hasil AI’ sendiri boleh mempengaruhi bagaimana kita mendengar muzik. Kalau diberitahu sebuah lagu ditulis oleh seorang lelaki yang baru kematian isteri, sebelum lagu bermula pun kita sudah bersedia untuk bersedih. Sebaliknya kalau diberitahu lagu yang sama itu dibuat oleh AI, automatik kita akan mencipta persepsi.

Bagaimanapun, hujah ini tidaklah membuktikan bahawa muzik janaan AI sama nilainya dengan karya tulen yang dihasilkan oleh manusia. Ini penting untuk kita semua faham.

Saya sendiri sebenarnya seronok bermain-main dengan AI untuk menghasilkan lagu. Bukan untuk bisnes, sekadar seronok-seronok untuk berasa syok kononnya telah menghasilkan sesuatu. Saya tulis lirik, tentukan genre muzik, karakter vokal, jenis-jenis instrumen dan durasinya. Hasil pun keluar. Tak sedap, saya suruh lagi berulang kali sehinggalah dapat hasil yang mirip dengan apa yang saya mahu. Sebuah lagu telah dihasilkan. Sudah tentulah saya bukan komposer. Di sinilah kita harus memperkenalkan beberapa istilah untuk membezakannya.

Komposer ialah manusia mutlak yang mencipta muzik asal seperti melodi, harmoni atau struktur. Jika komposer ini buat lagu menggunakan AI sebagai sebahagian alat produksinya, dia tetap komposer. Tetapi kalau AI memainkan peranan lebih besar dalam susunan dan mengembangkan idea asalnya, mungkin istilah ‘AI-assisted composer’ lebih telus.

Kemudian ada orang seperti saya yang tidak menggubah muzik tetapi memberi arahan kepada AI, memilih hasil, mengulang ‘prompt’ sehingga mendapat hasil. Saya tidak keberatan dipanggil ‘prompter muzik’. Ada keputusan kreatif yang saya buat tetapi tidak bolehlah saya mendakwa menggubah lagu sedangkan ia sebenarnya dihasilkan mesin. Orang-orang yang seperti saya ini juga haruslah sedar diri dan jangan perasan. Begitu jugalah gelaran dalam kerja kreatif bidang seni yang lain.

Istilah-istilah ini mungkin tidak sesuai lagi kerana teknologi terlalu cepat bergerak sampaikan istilah pun tak sempat dicipta. Yang lebih penting bagi saya ialah kredit perlu telus. Kalau Ahmad hanya menulis lirik dan memberi arahan kepada AI, janganlah pada kredit ditulis ‘lagu dan muzik: Ahmad’. Dengan penuh tanggungjawab tulislah misalnya ‘lirik: Ahmad, muzik: dijana dengan AI’ dan ‘arahan kreatif/kurasi: Ahmad’. Kalau Ahmad mencipta melodinya sendiri kemudian AI membantu gubahan, tulislah ‘Komposer: Ahmad’ dan ‘susunan/produksi: bantuan AI. Saya rasa itu lebih adil.

AI tidak wajar diberi hak moral seperti manusia. Yang kita perlukan ialah ketelusan tentang proses supaya hak manusia yang benar-benar menyumbang dapat dikenal pasti. Masyarakat juga perlu dididik tentang perbezaan tersebut. Kalau kita hanya menjerit ‘AI tiada jiwa’, memang perbincangan kita akan tersangkut dan tidak akan ke mana. Kita kena selesaikan.

Saya faham kebimbangan pemuzik kerana saya juga dalam bidang penghasilan karya. Saya melukis dan menulis. Saya tergugat juga dengan kehadiran AI. Pelanggan yang dahulu membayar kami untuk kerja-kerja mereka bentuk, grafik atau ilustrasi buku kini boleh menghasilkannya sendiri dalam masa seminit sahaja dengan hanya membayar harga ‘subscribe’ bulanan serendah RM20. Pelanggan yang memperuntukkan beberapa ribu ringgit untuk ‘jingle’ pun kini boleh mendapatkannya dengan lebih cepat dan murah. Ini kerana masyarakat pun ‘peduli apa’ karya tersebut dihasilkan oleh manusia tulen atau mesin. Asal sedap, mereka terima saja.

Sebab itu soal hak cipta, kredit, bagaimana AI digunakan dan bagaimana pencipta asal dilindungi perlu dibincangkan dengan serius. Ini kerana AI sudah ada. Nak tak nak, kita terpaksa berhadapan dengannya. Mungkin di situlah jalan tengahnya. Lindungi hak pencipta asal. Berikan kredit berdasarkan sumbangan. Bezakan komposer dengan orang yang sekadar memberi prompt.

Tetapi pada masa sama, karyawan juga harus melihat apa yang berlaku di sekeliling. Jangan hanya anti-AI dan mempersoalkan teknologi apabila kena pada kita sahaja. Hari ini kita memesan makanan melalui skrin atau telefon, membayar sendiri di kaunter layan diri dan melakukan urusan bank melalui mesin serta aplikasi. Robot pula sudah melakukan sebahagian kerja manusia di restoran, gudang dan kilang. Kita seronok kerana ia memudahkan urusan kita tapi kita tak peduli juga dengan manusia yang sudah kehilangan kerja di situ.

Kita tidak kisah pun dengan robot yang menghantar roti canai ke meja kita. Kita berasa lebih senang ‘order’ di skrin daripada kita menghadap muka manusia sehingga akhirnya manusia pun tersingkir. Paling tidak seronok dilihat ialah pengkarya muzik yang menentang penggunaan AI untuk menghasilkan lagu itu, pada masa sama pula menggunakan AI untuk membuat poster konsert. Macam mana tu? Mana pergi sindiran ‘tak ada jiwa’ tadi?

Dalam menghadapi cabaran teknologi, kita manusia yang ada jiwa inilah harus bersikap berani dan terbuka. Jika persaingan menjadi semakin sengit, kita tak boleh berterusan merengek dan merintih. Kita harus sambut cabaran, kuasai juga teknologi tersebut supaya kita tidak ketinggalan zaman.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.

Read Entire Article