SKS Betong bukti kerajaan dekat di hati rakyat

1 day ago 4
ADVERTISE HERE

TIGA hari mungkin singkat, namun kesannya mampu tinggal lebih lama dalam ingatan.

Itulah yang dapat digambarkan menerusi penganjuran Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Betong yang bukan sahaja menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan dalam satu lokasi, malah menjadi jambatan mendekatkan kerajaan dengan rakyat.

Dari 25 hingga 27 September di Kompleks Sukan Betong, sebanyak 156 perkhidmatan daripada 47 agensi dibawa terus kepada masyarakat.

Ia sekali gus memberi peluang kepada penduduk mendapatkan pelbagai kemudahan, khidmat nasihat dan maklumat tanpa perlu pergi dari satu agensi ke agensi lain.

Di sebalik angka itu, tersimpan cerita manusia.

Ada yang datang mendapatkan rawatan dan menjalani saringan kesihatan, tidak kurang yang mencari maklumat berkaitan bantuan dan kebajikan.

Malah terdapat usahawan membawa hasil tangan untuk diperkenalkan, manakala generasi muda pula mengambil peluang meneroka pelbagai ruang dan peluang tersedia.

Di sinilah nilai sebenar SKS Betong terserlah yang mencatatkan kehadiran 97,000 pengunjung.

Ia bukan sekadar tentang berapa banyak agensi menyertai atau berapa banyak perkhidmatan ditawarkan, tetapi tentang sejauh mana rakyat merasakan kerajaan hadir bersama mereka.

Dalam kesibukan pembangunan yang semakin pesat, sentuhan secara bersemuka seperti ini mempunyai makna tersendiri.

Rakyat bukan sekadar melihat kerajaan melalui dasar, pengumuman atau angka pembangunan, tetapi dapat bertemu sendiri dengan mereka yang menyampaikan perkhidmatan.

Bagi Betong, penganjuran SKS kali ini turut membuka ruang untuk masyarakat mengenali dengan lebih dekat potensi kawasan mereka sendiri, daripada pertanian, keusahawanan dan makanan tempatan hinggalah pelancongan komuniti serta produk anak tempatan.

Betong bukan sekadar lokasi penganjuran malah menjadi pentas memperlihatkan kekuatan masyarakatnya.

Lebih menarik, program ini turut membuktikan bahawa pembangunan tidak semestinya hanya diukur melalui projek berskala besar.

Kadangkala, pembangunan bermula apabila rakyat mendapat jawapan kepada persoalannya, usahawan menemui peluang baharu, keluarga mengetahui bantuan yang boleh dipohon atau penduduk menerima perkhidmatan yang selama ini sukar diperoleh.

Perkara kecil bagi sesetengah pihak mungkin membawa makna besar kepada penerima.

Itulah wajah Sarawak yang mahu dibina iaitu sebuah wilayah yang pembangunan dan perkhidmatannya bergerak seiring dengan keperluan rakyat.

SKS Betong akhirnya melabuhkan tirai dengan meninggalkan lebih daripada sekadar tapak program yang kembali lengang.

Ia meninggalkan pengalaman, hubungan dan rasa dihargai dalam kalangan masyarakat yang hadir.

Tiga hari menjadi kenangan manakala 47 agensi menjadi penggerak dan 156 perkhidmatan menjadi penghubung.

Namun yang paling penting, rakyat menjadi nadi kepada segala-galanya.

Kerana pada akhirnya, sesebuah program tidak diukur hanya berdasarkan meriahnya acara, tetapi berdasarkan sejauh mana ia memberi makna kepada kehidupan manusia.

Sarawakku Sayang bukan sekadar nama sebuah program. Di Betong, ia diterjemahkan melalui kehadiran, khidmat dan sentuhan kepada rakyat.-TVS

Read Entire Article