ADVERTISE HERE
KOTA BHARU, 21 Sept: Ketua Jurulatih Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak mahu anak buahnya segera melupakan keputusan seri tanpa jaringan menentang Kelantan City FC dalam aksi Piala FA di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, malam tadi, sebelum kembali lebih kuat bagi menghadapi perlawanan timbal balik di Stadium Sarawak, Kuching pada 10 Oktober depan.
Menurut Aidil, skuad The Cats sebenarnya menguasai sebahagian besar permainan, namun terlalu ghairah memburu jaringan sehingga gagal memanfaatkan peluang, termasuk ketika lawan beraksi dengan 10 pemain.
“Saya rasa hari ini kami terlalu mencuba dan pemain terlalu beria-ia untuk menjaringkan gol sehingga menjadi sedikit tegang. Apabila lawan bermain dengan 10 pemain, kami juga gagal mengambil kesempatan. Ini sesuatu yang perlu kami pelajari,” katanya pada sidang media selepas perlawanan tersebut malam tadi.
Aidil berkata, keputusan itu tetap perlu diterima meskipun Kuching City mendominasi penguasaan bola dan terus memberikan tekanan sehingga penghujung perlawanan, termasuk percubaan yang terkena tiang.
Baginya, fokus kini adalah memastikan pemain mendapat ruang secukupnya untuk kembali segar selepas mengharungi siri panjang perlawanan di tempat lawan.
Jelas Aidil, perjalanan panjang dengan lapan aksi berturut-turut di tempat lawan, selain rutin keluar masuk hotel dan lapangan terbang, memberi cabaran tersendiri kepada pemain.
Justeru, tempoh rehat antarabangsa FIFA akan dimanfaatkan untuk memulihkan keadaan skuad sebelum kembali beraksi.
“Saya akan pastikan mereka dapat ‘reset’ sepanjang rehat FIFA ini dan kami akan kembali lebih kuat. Bukan mudah untuk pemain selepas lapan atau sembilan perlawanan berturut-turut di tempat lawan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Aidil percaya kelebihan beraksi di laman sendiri pada perlawanan timbal balik mampu memberi suntikan tambahan kepada Kuching City, namun mengingatkan penyokong supaya terus bersabar dengan perkembangan pasukan yang kini berdepan jadual dan cabaran baharu.
Tambahnya, Kuching City masih berada dalam kedudukan kompetitif dan peluang untuk mara dalam saingan piala masih terbuka.
Beliau pada masa sama berharap penyokong The Cats dapat memenuhi Stadium Sarawak kerana kehadiran mereka mampu menjadi ‘pemain ke-12’ buat pasukan.
“Bola sepak tidak bermakna tanpa penyokong. Lihat Kelantan hari ini, mereka mendapat lebih tenaga kerana penyokong sentiasa berada di belakang mereka. Sokongan seperti itu sangat penting kepada setiap kelab bola sepak,” jelasnya.
Kedua-dua pasukan kini perlu menentukan nasib masing-masing pada aksi timbal balik 10 Oktober selepas terikat 0-0 di Kota Bharu. – TVS

1 day ago
10








English (US) ·