Belanjawan 2027: Peluang kerja berkualiti perlu terus diperkasa

53 minutes ago 6
ADVERTISE HERE

MIRI, 22 Sept: Pembangunan pasaran pekerjaan di Malaysia termasuk diutara Sarawak perlu beralih daripada sekadar mewujudkan lebih banyak peluang kerja kepada penyediaan pekerjaan bernilai tinggi yang sepadan dengan kemahiran serta kelayakan tenaga kerja tempatan.

Pensyarah Perakaunan dan Kewangan, Fakulti Perniagaan, Curtin University Malaysia, Dr Tanusree Chakravarty Mukherjee berkata, perkembangan ekonomi dan industri di wilayah berkenaan perlu disokong dengan peluang pekerjaan yang mampu meningkatkan produktiviti serta pendapatan pekerja.

Menurutnya, cabaran pasaran buruh ketika ini bukan lagi semata-mata mengenai pengangguran, tetapi memastikan pekerja mempunyai pekerjaan yang benar-benar menggunakan kelayakan, kemahiran dan pengalaman mereka.

“Persoalannya bukan lagi berapa banyak pekerjaan yang kita cipta, tetapi sejauh mana pekerjaan itu memberi nilai, peluang dan pendapatan yang lebih baik kepada masyarakat.

“Peralihan perlu berlaku daripada pekerjaan bernilai rendah kepada pekerjaan bernilai tinggi, daripada pekerjaan tradisional kepada pekerjaan yang dipacu teknologi, seterusnya meningkatkan produktiviti dan gaji,” katanya ketika ditemui TVS di sini, baru-baru ini.

Dr Tanusree berkata, hubungan antara institusi pendidikan dan industri perlu diperkukuh bagi memastikan graduan di utara Sarawak mempunyai kemahiran yang sepadan dengan keperluan sektor yang sedang berkembang.

Katanya, peluang latihan industri dan pengalaman kerja sebenar perlu diperluas bagi membantu graduan memasuki sektor berproduktiviti tinggi termasuk teknologi, industri hijau dan pembuatan termaju.

“Universiti, majikan dan agensi kerajaan perlu mengenal pasti kemahiran baharu secara berkala dan memastikan ia dimasukkan dalam kurikulum.

“Lebih banyak peluang latihan industri yang benar-benar memberi pengalaman kerja juga boleh membantu merapatkan jurang antara graduan dengan keperluan industri,” tambahnya.

Beliau turut mencadangkan Belanjawan 2027 memberi perhatian kepada sokongan bersasar untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam meningkatkan produktiviti, automasi dan kemahiran pekerja.

“Kita perlu melihat kedua-dua belah pasaran buruh. Kita bukan sahaja perlu meningkatkan bekalan tenaga kerja berkemahiran, tetapi pada masa sama perlu memastikan industri mewujudkan permintaan terhadap kemahiran tinggi.

“Apabila produktiviti meningkat, ia sepatutnya membawa kepada pendapatan, keuntungan dan gaji yang lebih tinggi serta akhirnya mengukuhkan kuasa beli isi rumah,” katanya.

Di Sarawak, platform JobSarawak yang diperkenalkan kerajaan negeri turut berperanan menghubungkan pencari kerja dengan majikan serta menyediakan peluang merentasi pelbagai sektor termasuk teknologi dan industri.

Dr Tanusree berkata, pendekatan sedemikian perlu dilengkapi dengan pembangunan kemahiran secara berterusan supaya tenaga kerja tempatan mampu menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi dan struktur ekonomi. – TVS

Read Entire Article