AIM25 jadi penanda aras penganjuran acara seni di Sarawak

12 hours ago 9
ADVERTISE HERE

KUCHING, 25 Sept: Penganjuran Anugerah Industri Muzik ke-25 (AIM25) di Kuching menjadi penanda aras kepada Sarawak dalam menganjurkan acara berskala besar, khususnya membabitkan bidang seni dan industri kreatif.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pengalaman dan tahap profesionalisme yang ditampilkan dalam penganjuran AIM25 boleh dijadikan pembelajaran untuk pelaksanaan acara berskala besar pada masa akan datang.

“Saya percaya mereka yang menjadi penganjur ini memang sudah pakar dalam bidang ini. Saya datang ke Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) untuk melihat sedikit sebanyak persiapannya dan dapat melihat tahap profesionalisme dalam penganjuran acara besar seperti ini yang akan disiarkan secara langsung.

“Semuanya begitu teratur dan saya percaya mereka yang datang dari Sarawak, TVS khususnya, akan dapat mempelajari bagaimana nak menganjur acara-acara besar seperti ini,” katanya kepada TVS selepas meninjau persiapan akhir Anugerah Industri Muzik di sini, hari ini.

Menurutnya, penganjuran AIM25 yang pertama kali diadakan di Sarawak turut memberi nilai tambah kepada sektor pelancongan dan industri kreatif negeri menerusi kehadiran artis serta pengunjung dari luar Sarawak.

“Kita berasa amat bangga sekali kerana ia dapat diadakan di Bandaraya Kuching dengan kehadiran ramai artis ternama yang berkampung di Kuching dalam masa dua hingga tiga hari ini.

“Saya selaku menteri yang bertanggungjawab sedikit banyak berkenaan dengan kebudayaan, kesenian dan pelancongan. Mestilah kita rasa bangga dengan kehadiran pengunjung-pengunjung daripada luar, terutama sekali daripada Semenanjung Malaysia,” katanya lagi.

Tambahnya, kapasiti BCCK yang terhad menyebabkan AIM25 tidak menjual tiket kepada orang ramai, namun acara berkenaan boleh disaksikan secara langsung menerusi TVS pada esok malam.

Dalam pada itu, Abdul Karim turut berpuas hati dengan persiapan AIM25 selepas meninjau keadaan di BCCK menjelang acara kemuncak esok. – TVS

Read Entire Article