Al-Sultan Abdullah main peranan penting lonjakkan ekonomi negara semasa pemerintahan

10 months ago 157
ADVERTISE HERE

KUALA LUMPUR: Penggal pemerintahan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 bukan sahaja akan dikenang dalam ingatan manis seluruh rakyat jelata malah juga oleh komuniti perniagaan di negara ini.

Sepanjang tempoh lima tahun pemerintahan, Al-Sultan Abdullah mengadakan beberapa siri lawatan negara yang secara langsung mengisyaratkan keteguhan dan kestabilan politik negara, sekali gus memberikan Malaysia rangsangan positif untuk memperkukuh perdagangan dua hala serta hubungan ekonomi dengan negara lain.

Semasa lawatan rasmi ke pelbagai negara itu, Seri Paduka memberikan penekanan utama terhadap kekuatan ekonomi Malaysia dan mempromosikan pelbagai peluang yang ada di negara ini kepada ketua-ketua negara luar.

Usaha Al-Sultan Abdullah itu memberi rangsangan yang amat diperlukan ekonomi negara selepas pandemik Covid-19, selain membantu kerajaan menarik lebih banyak pelaburan langsung asing (FDI) dan membuka peluang yang lebih besar kepada perniagaan tempatan, termasuk perusahaan kecil dan sederhana, untuk melebarkan sayap ke luar negara.

HUBUNGAN BAIK DENGAN PEMIMPIN NEGARA LUAR

Ketua ahli ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid percaya hubungan baik Al-Sultan Abdullah dengan ramai pemimpin dunia merupakan satu kelebihan utama.

“Hubungan erat mereka jelas sekali membantu membuka pintu kepada perbincangan yang lebih aktif dengan menteri dan jentera kerajaan kita, yang membawa kepada aliran masuk FDI positif ke Malaysia.

“Tambahan pula, Malaysia kaya dengan budaya dan kepelbagaian kaum yang menjadikan negara ini destinasi menarik bagi pelabur asing dan raja-raja kita, termasuk Al-Sultan Abdullah, sudah pastinya memainkan peranan dan pemangkin yang penting (menarik pelaburan),” katanya kepada Bernama.

Al-Sultan Abdullah akan menamatkan pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Jan ini dan Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 untuk tempoh lima tahun bermula 31 Jan, 2019.

MENGUKUHKAN HUBUNGAN DUA HALA MENERUSI LAWATAN NEGARA

Lawatan sulung Al-Sultan Abdullah ke Brunei Darussalam selepas ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 30 Julai, 2019, menjadi satu cerminan keutuhan dan keunikan hubungan Kesultanan Melayu.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin merumuskan lawatan negara itu sebagai satu titik permulaan paling unik keakraban hubungan dua raja Melayu di nusantara.

Semasa lawatan tersebut, beliau berkata kedua-dua ketua negara itu menzahirkan keyakinan semangat persaudaraan dan persahabatan erat antara Brunei Darussalam dan Malaysia akan kekal berterusan.

Pensyarah Kanan Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM) Prof Madya Dr Abu Sofian Yaacob berkata sepanjang tempoh perkhidmatan Seri Paduka, Al-Sultan Abdullah telah melakukan lawatan rasmi ke beberapa negara yang pernah atau akan membuat pelaburan atau menjalin usaha sama di sini, termasuk Turkiye dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Beliau juga menyifatkan kunjungan terbabit sebagai usaha perhubungan awam antarabangsa yang amat baik, memupuk persekitaran kerjasama ekonomi yang produktif.

“Bagi saya, Yang di-Pertuan Agong akan dikenang kerana penubuhan Kerajaan Perpaduan yang bertitik tolak daripada hasrat Seri Paduka selepas (keputusan) Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15),” katanya.

Ini berikutan tiada parti yang memperoleh kemenangan majoriti mudah dalam PRU15 yang berlangsung pada 2022.

Sofian berkata Al-Sultan Abdullah akan turut dikenang kerana acara julung kali lawatan penjelajahan Kembara Kenali Borneo ke Sabah dan Sarawak yang menyaksikan Seri Paduka dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mendekati dan berinteraksi dengan warga tempatan iaitu yang pertama dilakukan oleh Ketua Utama Negara.

“Selain itu, Al-Sultan Abdullah juga amat prihatin dari segi memberi sokongan serta menggalakkan kalangan atlet bertanding di peringkat dalam serta luar negara. Seri Paduka telah mencemar duli menghadiri banyak acara di peringkat kebangsaan yang menyaksikan penyertaan pelbagai kaum sebagai satu bangsa,” katanya.

PACU PELABURAN LANGSUNG ASING DARI TIMUR TENGAH

Ketika melakukan lawatan rasmi ke Arab Saudi pada Jun tahun lepas, Al-Sultan Abdullah telah menzahirkan harapan agar Malaysia-Arab Saudi terus memperkukuh hubungan dua negara serta perpaduan ummah.

Seri Paduka menzahirkan perkara itu pada Majlis Jamuan Teh Petang yang dianjurkan oleh Putera Mahkota dan Perdana Menteri Arab Saudi, Putera Mohammed bin Salman bin Abdulaziz Al Saud.

“Dalam majlis yang berlangsung selama sejam, Seri Paduka Baginda telah berkenan bertukar-tukar pandangan bersama Yang Amat Mulia Putera Mohammed dalam pelbagai perkara, termasuk hubungan dua hala yang terjalin erat dan secara istimewa antara Malaysia dan Arab Saudi,” demikian menurut hantaran di laman Facebook Istana Negara.

Pada 2021, nilai eksport Malaysia ke Arab Saudi berjumlah US$1.38 bilion sementara eksport Arab Saudi ke Malaysia pula berjumlah US$2.73 bilion

Sementara itu, Pengarah Program MBA dan Profesor Madya di Putra Business School, Dr Ahmed Razman berkata peranan Al-Sultan Abdullah dalam memacu pelaburan langsung asing (FDI) terutama dari rantau Timur Tengah, adalah penting dan tidak boleh disangkal.

Ini susulan daripada perhubungan akrab yang telah lama terjalin antara kalangan pemerintah diraja Malaysia serta Arab selain berkongsi kepercayaan dan agama yang sama.

“Keadaan itu hanya memupuk hubungan akrab bagi kedua-dua pihak selain meletakkan Malaysia dalam kalangan negara yang diberi keutamaan serta menjadi pilihan untuk mendapat FDI dari negara-negara Timur Tengah itu,” katanya.

Malah, pada bulan lepas, Al-Sultan Abdullah turut berangkat mengadakan lawatan khas ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) bersempena Persidangan Ke-28 Pihak-Pihak Konvensyen Rangka Kerja Pertumbuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Perubahan Iklim (COP28), termasuk menyaksikan majlis pertukaran dokumen mengenai pelaburan tenaga boleh baharu di Malaysia selain melancarkan Pavilion Malaysia.

UAE kekal sebagai rakan dagang dan pelabur asing terbesar Malaysia dalam kalangan negara-negara Asia Barat. Bagi empoh Januari hingga April 2023, jumlah perdagangan antara kedua-dua negara meningkat sebanyak 5.7 peratus daripada RM11.25 bilion (US$2.67 bilion) kepada RM11.89 bilion (US$2.70 billion).

Pada 2020, Seri Paduka menyifatkan pertumbuhan luar biasa dalam perdagangan dua hala dan pelancongan antara Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan menunjukkan wujudnya potensi ekonomi yang luas.

MENGGALAKKAN PELUANG PELABURAN TEMPATAN

Dalam usaha menggalakkan peluang pelaburan di Malaysia, Seri Paduka juga aktif dalam mempelawa perniagaan serta kerajaan antarabangsa, menerusi kalangan pemimpin dan pegawai masing-masing untuk melabur dan bekerjasama dengan perniagaan di sini.

Sebagai contoh, pada Majlis Santapan Negara meraikan Putera Monaco Putera Albert II dan delegasinya di Istana Negara pada November lepas, Al-Sultan Abdullah bertitah mengenai banyak peluang kerjasama yang boleh diteroka oleh kedua-dua negara.

Seri Paduka Baginda bertitah mengenai jalinan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara sejak 2009 yang telah terbukti membuka banyak peluang serta potensi untuk diteroka.

“Daripada usaha saintifik sehingga berkaitan marin, terdapat banyak peluang kerjasama dan pertumbuhan yang kita ingin teroka bersama. Perdagangan dan pelaburan turut menjadi satu lagi aspek berpotensi dan penting dalam hubungan dua hala kita,” titah Seri Paduka Baginda.

Pada Oktober 2022, Al-Sultan Abdullah berkenan menyempurnakan majlis perasmian projek hartanah ikonik pelaburan Malaysia iaitu Stesen Janakuasa Battersea di Central London.

Pembangunan Battersea Power Station dimiliki oleh konsortium pelabur Malaysia yang terdiri daripada SP Setia (40 peratus), Sime Darby Property (40 peratus) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (20 peratus), dengan aset komersial dalam bangunan stesen janakuasa itu kini dimiliki secara langsung oleh Permodalan Nasional Bhd (PNB) dan KWSP. - Bernama

Read Entire Article