Bangkok isytihar bencana banjir di seluruh bandar

23 hours ago 1
ADVERTISE HERE

BANGKOK, 26 Sept: Pihak berkuasa Bangkok hari ini mengisytiharkan bencana banjir di kesemua 50 daerah di ibu negara Thailand itu susulan hujan berterusan yang menyebabkan banjir semakin buruk.

Pengisytiharan berkenaan membolehkan agensi dan organisasi tempatan mengambil tindakan segera bagi menangani keadaan banjir.

Gabenor Bangkok, Chadchart Sittipunt, berkata hampir 300 milimeter hujan direkodkan sejak Khamis, dengan kawasan timur bandar paling terjejas.

Beliau turut memberi amaran bahawa hujan dijangka berterusan dalam tempoh terdekat.

“Hujan masih turun dan kami sedang berusaha sedaya upaya. Kami cuba mengepam keluar air, tetapi semua terusan sudah dipenuhi air,” katanya menerusi media sosial.

Beliau berkata, penduduk yang tinggal berhampiran terusan antara paling berisiko kerana paras air semakin meningkat.

“Setiap terusan kini sudah dipenuhi air,” katanya sambil menggesa penduduk memindahkan kenderaan ke kawasan lebih tinggi.

Hujan hampir tidak berhenti sejak petang Khamis, menyebabkan jalan raya dinaiki air dan paras air di terusan Bangkok meningkat sehingga air memasuki rumah serta premis makanan yang terletak berhampiran, menurut tinjauan wartawan AFP.

Somkid Pheuk-ngam, 67, seorang peniaga yang tinggal berhampiran terusan di utara pusat Bangkok, berkata paras air kini hampir mencecah pinggangnya.

“Air terus masuk. Sekarang sukar untuk keluar. Parasnya sudah hampir ke pinggang saya. Saya tidak boleh ke mana-mana. Saya sudah menutup kedai selama dua hari,” katanya.

Beliau berkata kawasan berkenaan sememangnya kerap dilanda banjir, namun keadaan kali ini disifatkannya lebih buruk berbanding banjir besar pada 2011.

Chadchart turut menggesa pesakit terlantar yang bergantung kepada peralatan perubatan untuk kelangsungan hidup supaya mempertimbangkan pemindahan sementara ke hospital.

Banjir besar yang melanda beberapa kawasan Thailand pada 2011 mengorbankan lebih 500 orang dan menyebabkan jutaan rumah mengalami kerosakan.

Read Entire Article