Banjir: Thailand isytihar cuti khas dua hari di Bangkok, wilayah berhampiran

6 hours ago 7
ADVERTISE HERE

BANGKOK, 27 Sept: Thailand mengisytiharkan cuti umum khas pada 28 dan 29 Sept di Bangkok dan tiga wilayah berhampiran berikutan langkah pihak berkuasa mempertingkat usaha menangani banjir susulan hujan lebat berterusan yang menjejaskan beberapa bahagian di ibu negara.

Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri Anutin Charnvirakul berkata cuti umum dua hari itu terpakai untuk Bangkok, Nonthaburi, Pathum Thani dan Samut Prakan bagi mengurangkan limpahan kesan banjir serta memudahkan pergerakan orang ramai.

“Cuti khas ini diluluskan dalam Mesyuarat Khas Kabinet hari ini bagi membantu mengurangkan kesan banjir dan memudahkan pergerakan orang awam,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat itu di Rumah Kerajaan pada Ahad.

Anutin berkata hujan diramalkan berterusan di kawasan Wilayah Tengah dan Timur, manakala Bangkok dijangka menerima hujan ringan hingga sederhana.

Beliau mengarahkan gabenor wilayah untuk memantau rapi kawasan terjejas dan memastikan anggota, jentera serta kenderaan dikerah dengan pantas mengikut keperluan.

Kerajaan juga sedang menyediakan pusat pemindahan sementara, makanan, bekalan bantuan dan kemudahan perubatan untuk penduduk yang terjejas akibat banjir, katanya.

Anutin turut mengarahkan para gabenor supaya segera mengisytiharkan kawasan terjejas bencana sekiranya perlu dan memohon dana kecemasan tambahan menerusi Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana (DDPM) jika keadaan semakin teruk.

Di Bangkok,  hujan semakin berkurangan sejak  Sabtu malam, namun kebanyakan kawasan masih dinaiki air dengan beberapa jalan utama tidak dapat dilalui, terutamanya di bahagian timur dan utara ibu negara menghala ke Lapangan Terbang Don Mueang serta sepanjang Jalan Phetchaburi di pusat bandar.

Beberapa kenderaan turut terkandas di laluan yang dilimpahi air banjir. -TVS

Read Entire Article