Bebuling STOLport ‘game changer’ ekonomi, pelancongan Betong

1 hour ago 5
ADVERTISE HERE

BETONG, 25 Sept: Bebuling Short Take-Off and Landing Airport (STOLport) dilihat mampu menjadi ‘game changer’ pengubah keadaan kepada ekonomi Betong khususnya dalam memperkukuh rantaian bekalan produk pertanian serta membuka akses lebih luas kepada sektor pelancongan.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, kedudukan STOLport yang berhampiran kemudahan pertanian termasuk agropark serta Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan (CPPC) memberi kelebihan dalam mempercepat penghantaran hasil tempatan ke pasaran.

Menurutnya, Betong mempunyai dua agropark selain aktiviti pertanian dan penternakan yang berpotensi diselaraskan menerusi sistem rantaian bekalan lebih teratur.

“Bagi saya, STOLport adalah satu game changer yang cukup besar untuk orang Betong kerana dengan adanya STOLport, salah satunya adalah untuk penghantaran barang.

“Berdekatan STOLport ada agropark dan Collecting, Processing and Packaging Centre. Di Betong juga ada dua agropark. Orang Betong juga banyak terlibat dalam penternakan dan pertanian, jadi semua ini dapat kita atur melalui sistem rantaian bekalan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui sempena dengan Program Sarawakku Sayang di Betong, hari ini.

Selain sektor pertanian, Uggah berkata, STOLport berpotensi menjadi pintu masuk baharu kepada industri pelancongan di Betong dan kawasan sekitarnya.

Katanya, Betong mempunyai pelbagai tarikan termasuk Fort Lily (Kubu Lily) serta replika Kubu Rentap yang sedang dibangunkan di Bukit Sadok, selain mempunyai akses ke destinasi lain seperti Batang Ai dan Sri Aman.

Menurutnya, perjalanan ke Bukit Sadok mengambil masa sekitar 30 minit, manakala Batang Ai boleh dikunjungi dalam tempoh kira-kira sejam.

Akses antara Betong dan Sri Aman pula dijangka menjadi lebih singkat dengan siapnya Jambatan Batang Lupar II.

Uggah berkata, penerbangan dari Kuching ke Bebuling STOLport yang mengambil masa sekitar 15 minit berpotensi menjadi pilihan pelancong berbanding perjalanan darat yang jauh lebih panjang.

“Pelancong, saya fikir, akan memilih untuk menggunakan kapal terbang dari Kuching ke Bebuling STOLport kerana penerbangannya hanya sekitar 15 minit.

“Berbanding perjalanan darat sekitar tiga jam, 15 minit memang menjimatkan banyak masa. Kita mempunyai banyak tempat menarik, produk yang baik dan makanan yang baik di Betong,” ujarnya.

Jelasnya, kemudahan itu sekali gus berpotensi mewujudkan limpahan ekonomi kepada pengusaha produk tempatan, makanan, pertanian serta industri pelancongan.

Selain pertanian dan pelancongan, Uggah berkata sektor pendidikan turut dikenal pasti sebagai satu lagi bidang yang berpotensi berkembang seiring pembangunan STOLport di Betong.-TVS

Read Entire Article