Biawak bakal diperkasa sebagai saluran perdagangan Sarawak-Kalimantan

7 hours ago 4
ADVERTISE HERE

LUNDU, 27 Sept: Pos sempadan Biawak akan dipertingkatkan bagi memperkukuh hubungan ekonomi antara Sarawak dan Kalimantan, Indonesia, khususnya dalam konteks pembangunan ekonomi serantau ASEAN.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, peningkatan taraf pos sempadan berkenaan akan membuka ruang kepada hubungan perniagaan yang lebih erat antara Sarawak dan Kalimantan.

Usaha itu kata Abang Johari, merupakan sebahagian daripada strategi memperluas jaringan ekonomi rentas sempadan di Borneo.

“Kita akan tingkatkan pos sempadan di Biawak dan ia akan menjadi satu saluran kerjasama antara Indonesia dengan Malaysia dan sudah tentu impaknya kepada Sarawak. Jalinan ini akan menjadi jalinan ekonomi,” katanya ketika berucap pada Majlis Penangguhan Regatta Batang Kayan Lundu 2026 di sini, hari ini.

Abang Johari menambah, peningkatan hubungan ekonomi itu turut selari dengan usaha mengukuhkan kerjasama Sarawak dengan Kalimantan dalam konteks pembangunan ASEAN.

Katanya, beliau baru-baru ini menerima kunjungan Pengerusi Dewan Perniagaan Indonesia bersama delegasinya bagi membincangkan usaha mewujudkan rangkaian kerjasama ekonomi Borneo.

“Rantaian kerjasama ekonomi Borneo ini akan dijaringkan kepada ekonomi rantau ASEAN. Ini adalah peluang baharu, peluang kerjasama yang akan mewujudkan pembangunan yang lebih mendalam dalam kita melonjakkan ekonomi kita,” ujar beliau.

Menurut Abang Johari, hubungan rentas sempadan yang lebih kukuh mampu mewujudkan peluang baharu kepada Sarawak melalui jaringan perniagaan dan perdagangan dengan wilayah Kalimantan.

Tambah beliau, usaha memperkukuh hubungan ekonomi dengan Indonesia juga perlu dilihat sebagai sebahagian daripada persediaan Sarawak menghadapi perkembangan ekonomi serantau.

Abang Johari memberi jaminan bahawa Sarawak akan terus memanfaatkan kedudukan strategiknya di Borneo bagi memperluas kerjasama ekonomi dengan negara jiran dan rantau ASEAN. -TVS

Read Entire Article