Cabaran pembangunan komuniti jadi medan pembelajaran pelajar Curtin Malaysia

5 hours ago 6
ADVERTISE HERE

MIRI, 1 Okt: Sesi Libat Urus antara Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan bersama Curtin University Malaysia memberi pendedahan kepada pelajar mengenai isu pembangunan sebenar yang melibatkan perumahan, infrastruktur, saliran serta pengurusan alam sekitar.

Program yang menghimpunkan wakil kerajaan, akademia dan pelajar itu turut membantu pelajar memahami bagaimana bidang pengajian mereka boleh menyumbang kepada penyelesaian isu di peringkat tempatan.

Menurut seorang pelajar dari Kejuruteraan Awam dan Pembinaan, Stephen Juna Puspa, 20, berkata sesi itu memberinya gambaran lebih jelas mengenai aspek pembinaan dan saliran, termasuk isu yang berlaku di Miri.

Katanya, pengetahuan berkenaan boleh dimanfaatkan apabila beliau memasuki bidang kejuruteraan kelak.

“Sesi ini banyak membantu saya memahami perkara berkaitan perumahan, pembinaan dan saliran. Saya juga dapat mengetahui beberapa masalah yang berlaku di Miri.

“Saya berharap dapat menggunakan pengetahuan yang diperoleh di sini apabila menjadi jurutera nanti,” katanya ketika ditemui TVS di sini, hari ini.

Sementara itu, pelajar dari Fakulti Geologi Gunaan, Darrell Eleazer Jerow, 20, berkata perbincangan mengenai keadaan geologi di Canada Hill, perumahan mampu milik dan infrastruktur memberi perspektif mengenai kaitan faktor geologi dengan pembangunan.

“Daripada sesi libat urus ini, saya harap isu perumahan di kawasan pesisir, risiko banjir dan hakisan tanah turut diberi perhatian dalam sesi akan datang,” katanya.

Bagi pelajar Kejuruteraan Kimia, Germain Nanggai Jampi, 20, sesi itu membantunya memahami peranan kerajaan tempatan dalam menyediakan perumahan dan mewujudkan persekitaran kehidupan yang lebih baik untuk masyarakat.

“Saya berharap sesi akan datang dapat memberi lebih banyak pendedahan mengenai apa yang dilakukan dalam bidang perumahan serta bagaimana kami sebagai bakal jurutera boleh menyumbang kepada pembangunan Sarawak,” katanya.

Sesi berkenaan turut mengetengahkan kepentingan kerjasama antara kerajaan, akademia dan bakal tenaga profesional dalam membentuk komuniti yang selamat, mampan dan berdaya tahan. – TVS

Read Entire Article