Dana Kekayaan Berdaulat Masa Depan Sarawak meningkat kepada RM8.6 bilion

6 hours ago 6
ADVERTISE HERE

KUCHING: Nilai Dana Kekayaan Berdaulat Masa Depan Sarawak meningkat kepada RM8.6 bilion tahun ini berbanding peruntukan awal RM8 bilion, mencerminkan usaha kerajaan negeri membina kekayaan kewangan untuk manfaat generasi akan datang.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata dana berkenaan diwujudkan sebagai sebahagian daripada tanggungjawab jangka panjang kerajaan negeri dalam memastikan hasil dan sumber Sarawak terus menjana nilai pada masa depan.

Katanya, dana itu dibentuk dengan peruntukan awal RM8 bilion dan bertujuan melindungi serta mengembangkan kekayaan kewangan Sarawak menerusi pelaburan berdisiplin, pengurusan profesional dan tadbir urus yang kukuh.

“Sarawak Sovereign Wealth Future Fund merupakan satu bentuk tanggungjawab jangka panjang yang nyata, di mana kita memindahkan nilai lebihan tenaga elektrik dan tenaga yang sedang dieksport atau akan dieksport ke negara ASEAN dan di luar ASEAN.

“Dana ini kini mula membina portfolio pelaburan yang dipelbagaikan, termasuk aset berpendapatan tetap global dan bon domestik,” katanya pada Sarawak Corporate Leadership Summit 2026 di sini, hari ini.

Abang Johari berkata, dana berkenaan turut diterima sebagai Ahli Bersekutu Forum Antarabangsa Dana Kekayaan Berdaulat, sekali gus memperkukuh kedudukannya dalam pengurusan dana kekayaan berdaulat di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata, dana berkenaan dilindungi daripada sebarang pengeluaran untuk tempoh 20 tahun, termasuk oleh mana-mana kerajaan yang memerintah selepas ini, berdasarkan peruntukan undang-undang.

“Dana ini tidak boleh disentuh selama 20 tahun dan mana-mana kerajaan yang memerintah selepas ini juga tidak boleh, berdasarkan undang-undang, menyentuh dana tersebut dalam tempoh berkenaan.

“Justeru, kita akan terus mengembangkan dana ini dan saya berharap ia dapat menjadi seperti dana kekayaan berdaulat Norway di Timur,” katanya.

Dalam pada itu, Abang Johari berkata kekuatan kewangan Sarawak memberi ruang lebih besar kepada kerajaan negeri untuk terus melabur dalam bidang infrastruktur, pendidikan, teknologi dan aktiviti ekonomi.

Katanya, setiap pelaburan perlu dinilai berdasarkan nilai jangka panjang yang mampu diwujudkan, termasuk meningkatkan kesalinghubungan, membangunkan industri baharu, memperkukuh modal insan serta meningkatkan daya tahan ekonomi.

“Matlamat utama adalah menggunakan sumber dan kekuatan kewangan yang kita miliki hari ini untuk membina keupayaan yang mampu terus mencipta nilai pada masa hadapan.

“Pembangunan bukan sekadar membelanjakan lebih banyak atau membina lebih banyak infrastruktur, tetapi memastikan setiap keputusan pelaburan dibuat secara bijak dan manfaatnya terus dinikmati rakyat Sarawak untuk jangka panjang,” katanya.

Read Entire Article