ADVERTISE HERE
SERIAN, 1 Okt: Polis menahan dua lelaki tempatan berusia 22 dan 29 tahun yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes curi motosikal di Serian pada 17 September lalu.
Ketua Polis Daerah Serian, Superintendan Freddy Bian Stanislaus Bian berkata, kedua-dua suspek ditahan dalam operasi berasingan di Padawan dan Bau, hari ini.
Katanya, tangkapan dilakukan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian.
“Dalam operasi itu, polis turut merampas sebuah motosikal Yamaha Y15ZR tanpa nombor pendaftaran serta sebuah telefon bimbit jenama Honor yang dipercayai mempunyai kaitan dengan siasatan.
“Ujian saringan air kencing terhadap kedua-dua suspek mendapati mereka positif dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, semakan rekod jenayah mendapati seorang daripada suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.
Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.
Polis menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan jenayah kepada Bilik Gerakan IPD Serian di talian 082-874201, menerusi Facebook IPD Serian atau mana-mana balai polis berhampiran.
Kerjasama masyarakat amat dihargai bagi membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) membanteras kegiatan jenayah serta memastikan keselamatan dan ketenteraman awam di daerah Serian terus terpelihara. -TVS

2 hours ago
6








English (US) ·