ADVERTISE HERE
MUKAH, 1 Okt: Pembangunan modal insan menerusi pendidikan dan kemahiran terus menjadi fokus utama di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tellian bagi memastikan golongan muda tidak ketinggalan dalam menghadapi perubahan teknologi dan keperluan tenaga kerja masa hadapan.
ADUN Tellian, Royston Valentine berkata, usaha memperkasa pendidikan perlu dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan generasi muda mempunyai pengetahuan dan kemahiran yang relevan dengan perkembangan semasa.
Menurutnya, pendekatan itu antara lain dilaksanakan menerusi penubuhan Biro Pendidikan di Mukah yang bekerjasama dengan pelbagai pihak berkaitan pendidikan dan kemahiran bagi menyediakan program untuk golongan muda.
“Untuk kawasan DUN Tellian, saya menekankan berkaitan dengan pendidikan untuk memastikan pembangunan modal insan itu bergerak selari dengan perkembangan zaman.
“Oleh sebab itu, di Mukah ini kita mewujudkan biro pendidikan yang bekerjasama dengan pelbagai pihak yang berkaitan dengan pendidikan dan kemahiran dan kita menjalankan pelbagai program untuk membantu golongan muda kita agar mereka tidak ketinggalan dari sudut pembangunan modal insan,” katanya ketika ditemui di Studio Mini TVS, hari ini.
Beliau berkata, usaha itu turut bertujuan mempersiapkan golongan muda menghadapi cabaran era teknologi, selain membuka peluang membina masa depan menerusi pendidikan dan kemahiran yang bersesuaian.
Menurutnya, lepasan SPM dan STPM di kawasan berkenaan turut digalakkan merebut peluang melanjutkan pengajian, termasuk menerusi inisiatif pendidikan percuma yang mula dilaksanakan di Sarawak tahun ini.
Royston berkata, pihaknya menerusi biro pendidikan turut menyediakan pelbagai insentif dan bantuan kepada pelajar yang ingin meneruskan pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT) atau institusi kemahiran.
Katanya, golongan muda yang tidak berjaya meneruskan pengajian akademik tidak seharusnya melihat keadaan itu sebagai penghalang untuk membina masa depan kerana terdapat laluan lain, termasuk bidang kemahiran dan keusahawanan.
“Yang berjaya kita beri insentif dan kita berikan juga bantuan untuk melanjutkan pelajaran, terutamanya ke peringkat IPT ataupun institusi kemahiran yang ada.
“Yang kurang berjaya itu kita sediakan program untuk mereka yang mungkin mereka dapat libatkan diri dalam bidang keusahawanan dan sebagainya,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, pelajar perlu melihat bidang pengajian yang ditawarkan menerusi pendidikan percuma dari perspektif keperluan jangka panjang dan bukan hanya berdasarkan minat semasa.
Katanya, bidang berkenaan berpotensi menyediakan peluang kepada generasi muda untuk memenuhi keperluan tenaga kerja pada masa hadapan.
“Apabila kita melihat kepada keperluan semasa, kursus-kursus yang ditawarkan di bawah pendidikan percuma ini sebenarnya pada pandangan saya akan memberikan manfaat kepada pelajar ini pada 10 hingga 15 tahun yang akan datang untuk jangka masa panjang,” jelasnya.
Beliau berkata, pembangunan modal insan yang kukuh penting bagi memastikan anak muda di Mukah bukan sahaja mendapat peluang pendidikan, malah mampu kembali menyumbang kepada pembangunan DUN Tellian dan Bahagian Mukah.
Sementara itu, menerusi program SarawakKu Sayang yang memasuki siri kelapan, Royston berkata, penglibatan agensi kerajaan dalam program turun padang turut memberi ruang kepada masyarakat mendapatkan maklumat berkaitan pelbagai perkhidmatan, termasuk pendidikan dan pembangunan masyarakat.
“Kita ada 50 agensi yang terlibat dan 170 perkhidmatan yang disediakan melalui kaunter-kaunter ini untuk membolehkan agensi turun ke lapangan mendapatkan maklumat ataupun menyesuaikan apa juga masalah yang ada dalam kalangan penduduk untuk mereka sampaikan kepada agensi yang tepat,” katanya.
Beliau berharap lebih ramai anak muda di DUN Tellian memanfaatkan peluang pendidikan dan kemahiran yang tersedia sebagai persediaan menghadapi perubahan dunia pekerjaan serta menyumbang kepada pembangunan kawasan itu pada masa hadapan.-TVS

4 hours ago
10








English (US) ·