Enam lokasi lorong memotong dicadang dibina di Jalan Bakun

45 minutes ago 4
ADVERTISE HERE

BINTULU, 22 Sept: Kerajaan mencadangkan pembinaan lorong memotong di enam lokasi sepanjang Jalan Bakun bagi meningkatkan kelancaran pergerakan kenderaan, khususnya kenderaan berat, kata Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Menteri Kerja Raya itu berkata, cadangan tersebut merupakan langkah awal sebelum jalan berkenaan dinaik taraf kepada dua lorong sepenuhnya yang memerlukan kos lebih tinggi.

Pembinaan lorong memotong membolehkan kenderaan berat menggunakan lorong paling kiri di lokasi berkenaan, sekali gus memberi ruang kepada kenderaan ringan untuk memotong dengan lebih selamat.

“Banyak kenderaan berat. Kalau ada lorong memotong, bila sampai ke lorong memotong itu kenderaan berat pergi ke lorong terkiri sekali supaya kenderaan ringan boleh memotong untuk meneruskan perjalanan,” katanya ketika ditemui pada lawatan projek bina baharu lorong memotong di enam lokasi sepanjang Jalan Bakun, dekat sini, hari ini.

Menurutnya, Jalan Persimpangan Pan Borneo ke Asap Bakun sepanjang kira-kira 128 kilometer itu telah berusia lebih 30 tahun dan kini berdepan pelbagai masalah kerosakan akibat penggunaan kenderaan berat.

“Jalan ini dah menjangkau lebih 30 tahun, boleh dikatakan jalan ini sudah menua. Kita nampak memang ada banyak masalah berkenaan tahap jalan ini dan sudah banyak rosak apabila melihat kenderaan berat yang melalui laluan ini,” katanya lagi.

Menurut beliau, pergerakan kenderaan berat tidak boleh dihalang memandangkan laluan berkenaan penting kepada aktiviti ekonomi setempat termasuk sektor perladangan sawit dan pembalakan.

Dalam pada itu, KKR bercadang melaksanakan penilaian keadaan turapan jalan pada tahun depan bagi menilai keadaan jalan secara menyeluruh di seluruh Sarawak.

Jadi sebelum itu kita akan buat cadangan untuk buat satu penilaian keadaan turapan jalan untuk kita mengetahui dengan lebih terperinci kondisi jalan sepanjang ini dan bukan sekadar di sini sahaja, di seluruh Sarawak Jalan Persekutuan. Kita akan buat tahun depan,” katanya.

Tambah beliau, sebanyak RM28 juta telah digunakan tahun ini bagi kerja-kerja penyelenggaraan jalan di kawasan berkenaan, manakala cadangan peruntukan RM216 juta bagi pembinaan enam lokasi lorong memotong masih tertakluk kepada kelulusan dalam Belanjawan akan datang. – TVS

Read Entire Article