Exercise S.A.R 2026 uji ketahanan, kemahiran anggota PGA

37 minutes ago 2
ADVERTISE HERE

KUCHING, 28 Sept: Exercise Search and Rescue (S.A.R) Jabatan KDNKA Sarawak Tahun 2026 yang dilaksanakan Briged Sarawak, Pasukan Gerakan Am (PGA) selama 11 hari di Hutan Simpan Gunung Serapi melabuhkan tirai hari ini.

Latihan yang berlangsung dari 18 hingga 28 September itu menguji ketahanan fizikal dan mental peserta, selain meningkatkan kemahiran, ketangkasan serta kesiapsiagaan anggota dalam melaksanakan operasi mencari dan menyelamat di kawasan mencabar.

Pemilihan Hutan Simpan Gunung Serapi sebagai lokasi latihan memberikan cabaran tersendiri menerusi bentuk muka bumi bergunung-ganang, rangkaian sungai dan jeram yang kompleks, selain keadaan cuaca serta perubahan arah dan kelajuan angin yang sukar diramal.

Menurut kenyataan Briged Sarawak PGA, sepanjang latihan, peserta didedahkan kepada pelbagai kemahiran SAR termasuk ikatan tali, rappelling, abseiling, fast roping, hover jump dan winching, selain pengendalian Bilik Gerakan Operasi (OCC), SAR Deep Jungle dan Combat Search and Rescue (CSAR).

“Latihan turut memberi penekanan kepada peningkatan keupayaan PKP/PRP, Tiger Platoon dan elemen infantri dalam menghadapi situasi krisis serta bencana, termasuk penggunaan peralatan SAR secara berkesan dan selamat.

“Dalam pada itu, Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Briged Sarawak mengaplikasikan peranti inovasi Dr Tracker bagi membantu mengenal pasti serta memantau kedudukan tepat peserta SAR ketika berada di kawasan belantara,” kata kenyataan itu.

Unit Dron Briged Sarawak pula menyokong aspek peninjauan dan pemantauan dari udara menerusi penggunaan dron yang dilengkapi teknologi pengesanan haba dan inframerah, khususnya bagi pemantauan kawasan yang sukar diakses secara fizikal.

Penglibatan Pasukan 69 Komando, Unit Dron Briged Sarawak, KIK Briged Sarawak serta batalion-batalion di bawah pentadbiran Briged Sarawak PGA turut meningkatkan aspek kerjasama, koordinasi dan penggunaan teknologi dalam pelaksanaan operasi SAR.

Exercise S.A.R 2026 dikawal selia di peringkat keseluruhan oleh Pengarah JKDNKA, manakala aspek Command and Control dipertanggungjawabkan kepada Komander Briged Sarawak PGA, SAC Datuk Lim Bak Phai.

Bagi aspek Ground Command, tanggungjawab berkenaan dipertanggungjawabkan kepada Pegawai Pemerintah Batalion 11 PGA Kuching, Supt Ku Majidin Che Ku Jusoh.

Latihan berkenaan menjadi medan menguji ketahanan, disiplin, kemahiran teknikal, kepimpinan dan semangat kerja berpasukan setiap peserta dalam menghadapi situasi mencabar serta tidak menentu.

Melalui pelaksanaan Ex-SAR 2026, Briged Sarawak PGA terus meningkatkan keupayaan anggotanya dalam menghadapi sebarang bentuk ancaman, krisis dan bencana, di samping menggabungkan kemahiran manusia, teknologi serta inovasi dalam menyokong operasi mencari dan menyelamat.

Manusia, kemahiran, teknologi dan inovasi semuanya berdepan dengan ‘Amazon Asia’. Amazon Asia telah ditempuh, cabaran diharungi, teknologi dan inovasi dimanfaatkan, manakala kesiapsiagaan terus menjadi keutamaan.

Briged Sarawak PGA kekal komited memastikan setiap pegawai dan anggota sentiasa berada pada tahap kesiapsiagaan tinggi serta bersedia melaksanakan amanah demi keselamatan rakyat dan kedaulatan negara.-TVS

Read Entire Article