ADVERTISE HERE
KUCHING, 25 Sept: Penyanyi Indonesia, Fajar Noor, teruja menantikan penampilan sulungnya di pentas Anugerah Industri Muzik (AIM25) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), Sabtu ini.
Fajar, yang pertama kali menjejakkan kaki ke Sarawak, berkata fokus utamanya ketika membuat persembahan nanti adalah memastikan vokalnya berada pada tahap terbaik, selain mahu menikmati pengalaman beraksi di pentas berprestij itu.
“Untuk persembahan, yang penting nyanyiannya bagus dan saya mahu ‘have fun’ di AIM25 kerana ini kali pertama saya membuat persembahan di AIM. Semoga semuanya berjalan lancar,” katanya ketika ditemui TVS sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, di sini, hari ini.
Tidak hanya teruja dengan persembahan sulungnya, Fajar turut tidak sabar meneroka Sarawak sepanjang berada di negeri ini.
Katanya, antara perkara yang mahu dilakukannya ialah mencuba makanan tempatan, khususnya mi kolok yang disyorkan peminat sebaik tiba di Kuching.
“Tadi peminat cadangkan mi kolok. Jadi boleh, nanti saya cuba mi kolok,” katanya.
Fajar berkata, kunjungan selama tiga hari itu mahu dimanfaatkan sebaik mungkin bukan sahaja untuk memenuhi komitmen berkaitan AIM25, malah merasai sendiri pengalaman berada di Bumi Kenyalang.
Dalam tempoh berkenaan, beliau turut merancang mengunjungi beberapa stesen radio bagi mempromosikan karya muziknya.
“Saya baru sampai di sini dan sangat gembira. Jadi, saya mahu menikmati makanan di sini dan melihat apa yang ada di Sarawak,” katanya.
Fajar berharap persiapan yang dilakukan mampu menghasilkan persembahan terbaik pada malam kemuncak AIM25, selain dapat menikmati detik istimewa itu bersama penggiat serta peminat muzik di Sarawak.

3 hours ago
3








English (US) ·