Ops Lebih Muatan: 75 lori diperiksa di Jalan Pan Borneo

1 day ago 13
ADVERTISE HERE

BINTULU, 25 Sept: Sebanyak 75 lori pelbagai jenis diperiksa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak menerusi Ops Lebih Muatan di sekitar Jalan Pan Borneo di sini, pada Khamis.

Operasi menerusi Unit Operasi JPJ Kapit dengan kerjasama Unit Operasi JPJ Bintulu itu dilaksanakan bagi memantau pematuhan peraturan berkaitan had muatan dan keselamatan kenderaan perdagangan.

Menurut kenyataan JPJ Sarawak, hasil pemeriksaan mendapati beberapa kesalahan dikesan, termasuk membawa muatan melebihi had ditetapkan, membuang muatan, enggan menjalani penimbangan dan bunga tayar menipis.

“Turut dikesan kesalahan melanggar syarat permit Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP), membawa muatan secara berbahaya serta kesalahan teknikal kenderaan.

“Semua kesalahan yang dikesan dikenakan tindakan mengikut peruntukan undang-undang yang sedang berkuat kuasa,” kata kenyataan itu.

JPJ Sarawak mengingatkan pemandu dan pemain industri supaya tidak mengambil mudah arahan penguatkuasaan, khususnya berkaitan proses penimbangan kenderaan.

Perbuatan membuang muatan atau enggan mematuhi arahan menimbang kenderaan merupakan kesalahan di bawah Seksyen 63(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang boleh dikenakan denda antara RM2,000 hingga RM10,000 atau penjara sehingga satu tahun, atau kedua-duanya.

Lesen vokasional pemandu di bawah kuasa Pengarah Negeri juga boleh digantung sehingga tiga bulan, tertakluk kepada peruntukan undang-undang dan proses yang berkenaan.

JPJ Sarawak turut menasihatkan pemain industri memastikan setiap perjalanan dirancang dengan baik, muatan tidak melebihi had dibenarkan, syarat permit dipatuhi serta kenderaan berada dalam keadaan selamat dan sesuai digunakan di jalan raya.-TVS

Read Entire Article