ADVERTISE HERE
KUCHING, 22 Sept: Inovasi dan integriti perlu seiring bagi memastikan setiap program dan projek yang dilaksanakan kerajaan memberi impak kepada rakyat.
Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, berkata pendekatan itu penting dalam memastikan penyampaian perkhidmatan awam terus relevan dengan keperluan semasa.
Menurut beliau, inovasi tidak seharusnya terhad kepada peringkat atasan, sebaliknya idea dan penambahbaikan boleh datang daripada semua peringkat dalam organisasi.
“Tapi kita perlu bertanya pada rakyat kita sebenarnya, apa yang telah kita laksanakan itu telah mempunyai impact. Rakyat yang merasakan apa yang kita lakukan. Proses kita itu mungkin dapat kita perbaiki dari semasa ke semasa.
Tapi pada masa yang sama, apa saja yang kita buat, apa saja inovasi yang kita buat, hendaklah mempunyai impak kepada rakyat. Saya ambil contoh, misalnya kalau kita laksanakan projek jalan raya, ataupun projek perparitan, kita perlu bertanya kepada diri kita, adakah projek tersebut mempunyai impak kepada rakyat? Adakah ianya dirasakan oleh rakyat?,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Amanat Setiausaha Kerajaan Sarawak sempena HIITS 2026 di sini, hari ini.
Tambahnya, Jabatan Tanah dan Survei Sarawak mempunyai peranan penting sebagai pemudah cara kepada pembangunan, khususnya dalam memastikan pengurusan tanah yang cekap dan telus.
Ujarnya lagi, rakyat kini tidak hanya melihat proses dalam penyampaian perkhidmatan, sebaliknya menilai tempoh menunggu, ketepatan keputusan serta kejelasan jawapan yang diberikan.
Sehubungan itu, beliau menyeru warga Jabatan Tanah dan Survei Sarawak supaya terus bekerja sebagai satu pasukan, memperkasa inovasi dan memastikan setiap program yang dilaksanakan memberi manfaat serta impak yang dirasai rakyat. – TVS

1 hour ago
6








English (US) ·