Isu kemarau dan bekalan air turut perlu diberi perhatian – Dr Sim

6 hours ago 4
ADVERTISE HERE

KUCHING, 28 Sept: Isu jerebu tidak seharusnya dilihat secara terasing kerana perubahan iklim turut membawa risiko lain termasuk kemarau, kekurangan sumber air dan kesukaran mengawal kebakaran.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, keadaan kemarau boleh menyebabkan sumber air berkurangan sehingga menyukarkan usaha menangani kebakaran, termasuk di kawasan yang mempunyai tanah gambut.

“Kita bercakap tentang jerebu, tetapi kita juga perlu melihat keadaan apabila tiada air. Apabila sungai menjadi kering dan bekalan air tiada, bagaimana kita hendak memadamkan kebakaran?

“Keadaan ini berlaku disebabkan El Nino, malah Super El Nino. Ia juga berpunca daripada perubahan iklim,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Zeekr Kuching Pop-up Store di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, jelas Dr Sim, keadaan itu menunjukkan bahawa konsep kelestarian perlu difahami secara lebih menyeluruh dan tidak hanya dikaitkan dengan pencemaran udara atau satu-satu isu alam sekitar apabila kesannya sudah mula dirasai masyarakat.

“Ramai bercakap mengenai kelestarian, tetapi masih ramai yang tidak memahami apa sebenarnya kelestarian. Walaupun kesannya sudah berlaku kepada kita, masih ada yang hanya melihat jerebu dan terlupa mengenai masalah ketiadaan air,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menambah, Sarawak akan terus memberi tumpuan kepada kelestarian, tenaga boleh diperbaharui dan mobiliti hijau selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030. – TVS

Read Entire Article