ADVERTISE HERE
BETONG, 24 Sept: Infrastruktur jalan raya efisien memainkan peranan penting dalam merancakkan kegiatan ekonomi penduduk luar bandar khususnya dalam memudahkan pemasaran hasil pertanian dan komoditi tempatan.
Bagi masyarakat di Bahagian Betong yang sebahagian besarnya tinggal di kawasan rumah panjang dan perkampungan, kemudahan jalan raya berturap membolehkan hasil pertanian termasuk buah tandan segar sawit dibawa keluar dengan lebih mudah ke pasaran.
Ketua Masyarakat Daerah Betong, Temenggong Piee Alwi berkata, pembangunan infrastruktur asas itu memberi manfaat besar kepada pekebun kecil sawit yang bergantung kepada rangkaian jalan raya untuk membawa hasil mereka kepada pembeli.
“Jalan raya memang sangat memainkan peranan untuk menambah ekonomi penduduk, lebih-lebih lagi di kawasan Betong yang mempunyai banyak rumah panjang dan perkampungan serta terlibat dengan penanaman pekebun kecil sawit.
“Untuk membawa komoditi keluar, perlu ada jalan raya yang elok. Boleh dikatakan Bahagian Betong telah diliputi jalan raya berturap,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui TVS pada Program Sarawakku Sayang di Betong, hari ini.
Menurutnya, meskipun sebahagian penduduk mengusahakan sawit secara kecil-kecilan, hasil bagi satu pusingan tuaian boleh mencecah sekitar lapan hingga 10 tan.
Dengan harga sawit ketika ini yang disifatkan menggalakkan, ia mampu menjadi antara sumber pendapatan penting kepada masyarakat luar bandar.
Beliau berkata, kewujudan pembeli hasil sawit di beberapa kawasan termasuk Bungin, Debak, Saratok dan Pusa turut memudahkan pekebun memasarkan hasil mereka.
Dalam pada itu, Piee menjelaskan, meskipun terdapat penduduk khususnya golongan muda yang berhijrah keluar dari kampung untuk bekerja termasuk ke Semenanjung Malaysia, masih terdapat mereka yang memilih untuk kekal bersama keluarga dan mengusahakan tanaman sawit.
Selain sektor pertanian, katanya, Betong turut mempunyai produk makanan tempatan yang berpotensi menyumbang kepada ekonomi dan sektor pelancongan menerusi Ikan Buntal.
Pesta Ikan Buntal yang diadakan di Kampung Manggut, Spaoh menjadi platform untuk memperkenalkan hidangan berkenaan yang dianggap sebagai antara makanan ikonik masyarakat tempatan.
“Penganjuran pesta itu membantu memperluaskan penerimaan terhadap Ikan Buntal sehingga mendapat permintaan daripada pengguna di luar Betong.
“Mula-mula dahulu, Ikan Buntal ada yang dibuang dan harganya sekitar RM3 sekilogram. Sekarang harganya sudah mencecah RM15 sekilogram.
“Bagi kami di Betong, Ikan Buntal merupakan satu makanan yang dianggap ikonik dan ia memang satu hidangan yang cukup sedap. Ada juga yang diawet sebagai ikan masin,” ujarnya.
Beliau berkata, Ikan Buntal boleh ditemukan di kawasan Batang Saribas yang merangkumi beberapa lokaliti termasuk Meludam, Semarang, Sepinang, Beladin, Pusa sehingga ke kawasan Spaoh dan Bungin.
Jelasnya, keunikan sumber sungai serta makanan tradisional itu mempunyai potensi untuk terus diketengahkan sebagai produk identiti Betong, sekali gus membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada masyarakat setempat.-TVS

1 day ago
10








English (US) ·