Jerebu tidak menentu, kanak-kanak perlu dilindungi lebih daripada bacaan IPU

1 hour ago 2
ADVERTISE HERE

MIRI, 23 Sept: Situasi jerebu di utara Sarawak yang tidak menentu, dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) boleh berubah dengan ketara dalam tempoh singkat, memerlukan perhatian lebih terhadap golongan berisiko terutamanya melibatkan kesihatan kanak-kanak.

IPU Miri setakat pukul 10 pagi tadi merekodkan bacaan yang tinggi iaitu 160 berbanding tempoh sama direkodkan semalam iaitu 99.

Secara keseluruhan terdapat 12 lokasi di negeri ini merekodkan bacaan IPU tidak sihat dengan Serian merekodkan catatan tertinggi iaitu 180.

Pensyarah Kanan Kesihatan Awam, School of Medicine, Faculty of Health and Medical Sciences, Taylor’s University, Dr Sapna Shridhar Patil berkata, bacaan IPU penting dalam menentukan tindakan ketika jerebu, namun perlindungan kanak-kanak tidak seharusnya bergantung kepada angka itu semata-mata.

Dalam satu pandangan yang dikongsikan kepada media pada Rabu, beliau berkata kanak-kanak boleh memberikan tindak balas berbeza terhadap jerebu bergantung kepada umur, tahap kesihatan, aktiviti fizikal dan persekitaran mereka.

“Bacaan ini penting, tetapi kanak-kanak mungkin memberikan tindak balas yang berbeza bergantung kepada umur, kesihatan, aktiviti fizikal dan persekitaran,” katanya.

Menurutnya, keluarga dan sekolah perlu melihat lebih daripada sekadar bacaan IPU bagi memastikan kanak-kanak yang lebih terdedah mendapat perlindungan sewajarnya.

“Melindungi mereka memerlukan lebih daripada memantau angka. Keluarga dan sekolah juga perlu mengenal pasti kerentanan individu, bertindak terhadap simptom awal dan membuat persediaan sebelum keadaan menjadi teruk.”

Dr Sapna berkata, jerebu boleh menyebabkan pelbagai simptom termasuk batuk, hidung tersumbat, sakit kepala, keletihan dan kesukaran bernafas.

“Walaupun simptom yang agak ringan boleh menjejaskan tumpuan pelajar, penyertaan dalam kelas dan kehadiran ke sekolah,” jelasnya.

Beliau berkata kanak-kanak lebih terdedah kerana paru-paru dan sistem imun mereka masih berkembang, manakala mereka turut menyedut lebih banyak udara berbanding berat badan berbanding orang dewasa.

Aktiviti fizikal pula boleh meningkatkan pendedahan kepada PM2.5, iaitu zarah halus yang mampu menembusi jauh ke dalam paru-paru.

“Kanak-kanak amat terdedah kerana paru-paru dan sistem imun mereka masih berkembang.”

Katanya, kanak-kanak yang mempunyai asma, alahan, ekzema, penyakit pernafasan kronik atau masalah jantung memerlukan perhatian lebih kerana keadaan mereka boleh menjadi lebih teruk walaupun kanak-kanak lain kelihatan tidak terjejas.

“Mereka yang mempunyai asma, alahan, ekzema, penyakit pernafasan kronik atau masalah jantung menghadapi risiko lebih tinggi dan mungkin mengalami simptom yang bertambah teruk walaupun rakan sebaya mereka kelihatan tidak terjejas.”

Dr Sapna berkata, kesan jerebu turut melangkaui kesihatan fizikal apabila kanak-kanak terpaksa mengehadkan aktiviti sukan dan sosial serta menghabiskan tempoh lebih lama di dalam rumah.

“Kesan jerebu bukan hanya fizikal. Tidak dapat menyertai aktiviti sukan dan sosial, menghabiskan tempoh yang lama di dalam rumah serta bimbang tentang simptom yang semakin teruk juga boleh menjejaskan kesejahteraan emosi kanak-kanak.”

Sehubungan itu, ibu bapa disaran memantau bacaan IPU melalui portal rasmi Malaysian Air Pollutant Index Management System dan mengurangkan aktiviti luar yang tidak penting apabila kualiti udara menjadi tidak sihat atau terus merosot.

Dr Sapna turut mengingatkan ibu bapa supaya tidak menggalakkan anak meneruskan aktiviti luar sekiranya sudah menunjukkan simptom.

“Kanak-kanak tidak sepatutnya digalakkan untuk ‘bertahan’ melalui batuk, bunyi berdehit, dada terasa ketat atau kesukaran bernafas hanya untuk melengkapkan aktiviti luar.”

Beliau berkata kanak-kanak yang mempunyai asma atau masalah kesihatan kronik mungkin perlu mengurangkan pendedahan lebih awal dan mengikuti nasihat penyedia penjagaan kesihatan masing-masing.

Di rumah, tingkap dan pintu boleh ditutup apabila sesuai, manakala penapis udara yang dilengkapi penapis HEPA boleh membantu meningkatkan kualiti udara dalaman.

Keluarga juga perlu mengelakkan aktiviti yang menghasilkan zarah halus di dalam rumah termasuk merokok dan membakar kemenyan.

Bagi kanak-kanak yang perlu berada di luar, beliau berkata pelitup muka N95 atau KN95 yang dipasang dengan baik boleh menawarkan perlindungan lebih baik daripada zarah halus berbanding pelitup kain atau pelitup pembedahan.

“Pelitup muka perlu dipasang dengan kemas pada muka untuk memberikan perlindungan yang berkesan.”

Dalam pada itu, Dr Sapna berkata sekolah memainkan peranan penting dalam melindungi murid ketika jerebu dengan mempunyai pelan tindak balas yang jelas.

“Sekolah digalakkan mempunyai pelan tindak balas jerebu yang jelas meliputi pemantauan IPU, komunikasi tepat pada masanya dengan keluarga serta penyesuaian aktiviti.”

Beliau berkata aktiviti Pendidikan Jasmani, sukan, lawatan lapangan dan perhimpunan luar perlu dipindahkan ke dalam bangunan atau ditangguhkan apabila perlu.

Sekolah juga perlu mengenal pasti murid yang mempunyai masalah kesihatan kronik serta memastikan mereka mempunyai akses kepada ubat yang dipreskripsi dan sokongan sewajarnya.

“Mengekalkan persekitaran dalaman yang lebih bersih juga penting, termasuk mengurangkan kemasukan udara tercemar dari luar dengan menggunakan penapisan yang sesuai apabila tersedia.”

Dr Sapna berkata, penyesuaian akademik atau pembelajaran dari rumah juga boleh dipertimbangkan apabila simptom menjejaskan kehadiran murid atau jerebu berpanjangan sehingga mengganggu operasi sekolah.

Beliau berkata ibu bapa perlu mendapatkan nasihat perubatan sekiranya simptom berterusan, bertambah teruk atau mengganggu aktiviti harian.

“Kanak-kanak yang mengalami asma, penyakit paru-paru kronik, masalah jantung atau alahan yang ketara memerlukan pemantauan yang lebih dekat.”

Rawatan perubatan segera diperlukan sekiranya kanak-kanak mengalami kesukaran bernafas yang teruk, sakit dada yang ketara, bunyi berdehit yang serius, perubahan warna kebiruan pada bibir, kuku atau muka, mengantuk luar biasa, kekeliruan atau simptom yang semakin cepat memburuk.

Dr Sapna menegaskan persediaan tidak seharusnya hanya dilakukan selepas keadaan kanak-kanak menjadi serius.

“Persediaan tidak boleh menjadi perkara yang difikirkan kemudian apabila seorang kanak-kanak mula bergelut untuk bernafas.”

“Dengan bertindak awal dan memberi tindak balas terhadap keperluan individu, keluarga, sekolah dan penyedia penjagaan kesihatan boleh mengurangkan kesan jerebu terhadap kesihatan, pembelajaran dan kesejahteraan kanak-kanak, ” jelasnya. – TVS

Read Entire Article