ADVERTISE HERE
KUCHING, 25 Sept: Usaha membantu meringankan beban kos sara hidup warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan masyarakat setempat diteruskan menerusi Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) Peringkat PDRM Kontinjen Sarawak selama dua hari.
Program yang berlangsung di Dewan Terbuka Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak itu menawarkan pelbagai barangan keperluan harian pada harga lebih berpatutan.
Menurut kenyataan Polis Sarawak, inisiatif berkenaan turut menyasarkan usaha membantu rakyat, khususnya golongan B40 dan miskin tegar, mendapatkan barangan keperluan pada harga lebih rendah dan mampu milik.
“Selain memberi manfaat kepada warga PDRM dan keluarga, program berkenaan turut menjadi platform mengeratkan hubungan antara warga pasukan, agensi kerajaan dan komuniti setempat.
“Pelbagai barangan seperti makanan, minuman, barangan dapur dan keperluan harian lain mendapat sambutan menggalakkan daripada pengunjung,” kata kenyataan itu.
Program berkenaan dilaksanakan kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dengan menawarkan barangan keperluan asas pada harga Rahmah.
Selain membantu mengurangkan perbelanjaan harian, inisiatif itu turut menggalakkan masyarakat mengamalkan budaya berjimat cermat serta pengurusan kewangan secara berhemah.
Program Jualan Rahmah MADANI akan diteruskan esok di Kompleks Perumahan PDRM Tabuan Jaya, Kuching, bagi memberi peluang kepada lebih ramai warga PDRM dan penduduk setempat menikmati manfaat berkenaan. -TVS

8 hours ago
5








English (US) ·