ADVERTISE HERE
KARBON bukan lagi sekadar isu perubahan iklim, sebaliknya berpotensi menjadi aset ekonomi baharu yang mampu menjana pelaburan, mewujudkan ribuan peluang pekerjaan dan pada masa sama memperkukuh usaha pemuliharaan hutan di Sarawak.
Dengan kawasan hutan yang luas, selain ekosistem hutan bakau dan tanah gambut, Sarawak mempunyai kelebihan semula jadi untuk muncul sebagai antara pemain utama dalam ekonomi karbon di rantau Asia.
Namun, peluang itu datang bersama tanggungjawab yang tidak kurang besarnya, khususnya dalam memastikan setiap kredit karbon yang dihasilkan benar-benar mewakili pengurangan atau penyimpanan karbon yang sah dan boleh disahkan.
Karbon ada di sekeliling kita
Karbon sebenarnya wujud secara semula jadi dalam kehidupan manusia, termasuk dalam tubuh, laut, tanah, tumbuhan dan atmosfera.
Felo Institut Tenaga Lestari dan Boleh Diperbaharui (ISuRe), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Prof. Dr. Al-Khalid Othman berkata, masyarakat perlu memahami bahawa karbon itu sendiri bukan musuh.
Felo Institut Tenaga Lestari dan Boleh Diperbaharui (ISuRe), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Prof. Dr. Al-Khalid Othman. Foto UNIMASSebaliknya, masalah timbul apabila karbon dioksida dilepaskan dalam jumlah berlebihan sehingga menyumbang kepada perubahan iklim.
“Karbon sebenarnya wujud di mana-mana, dalam badan kita, di laut, tanah dan tumbuhan. Karbon bukan satu masalah tetapi mempunyai kepentingan dalam sistem kehidupan,” katanya.
Menurutnya, jika karbon dioksida terlalu banyak di atmosfera, haba akan terperangkap dan bumi menjadi semakin panas.
Sebaliknya, jumlah karbon yang terlalu sedikit pula boleh menyebabkan bumi menjadi terlalu sejuk.
Justeru, isu sebenar bukan untuk menghapuskan karbon, tetapi memastikan pelepasannya berada pada tahap yang boleh dikawal.
Aktiviti harian turut hasilkan karbon
Isu karbon juga bukan hanya berkaitan dengan industri besar.
Penggunaan elektrik, pemanduan kenderaan, pembelian barangan, pembuangan sisa dan penggunaan produk industri semuanya mempunyai kaitan dengan pelepasan karbon.
Pembakaran arang batu bagi menjana elektrik serta penggunaan bahan api oleh kenderaan, misalnya, menghasilkan karbon dioksida yang menjadi antara penyumbang kepada perubahan iklim.
Pembakaran arang batu bagi menjana elektrik serta penggunaan bahan api oleh kenderaan, misalnya, menghasilkan karbon dioksida yang menjadi antara penyumbang kepada perubahan iklim. Foto hiasan EnvatoAl-Khalid berkata, perkara itu menunjukkan karbon bukan sekadar isu saintifik, namun berkait rapat dengan kehidupan manusia setiap hari.
Perjanjian Paris cetus ekonomi karbon
Kepentingan karbon semakin ketara selepas Perjanjian Paris pada 2015 apabila negara-negara dunia meningkatkan komitmen menangani perubahan iklim dan mengurangkan pelepasan gas rumah hijau.
Perkembangan itu turut menyaksikan karbon mula mempunyai nilai ekonomi melalui mekanisme perdagangan karbon.
Melalui sistem berkenaan, usaha mengurangkan atau menyimpan karbon boleh diterjemahkan kepada kredit karbon yang mempunyai nilai di pasaran.
Kata Al-Khalid, secara asasnya, satu tan karbon dioksida yang berjaya dikurangkan atau disimpan boleh bersamaan dengan satu kredit karbon, tertakluk kepada metodologi dan piawaian yang digunakan.
Kredit karbon boleh cecah USD100
Nilai kredit karbon pula berpotensi memberikan pulangan ekonomi yang besar, bergantung kepada keadaan dan permintaan pasaran.
Menurut Al-Khalid, harga satu kredit karbon di pasaran berpotensi mencecah antara USD50 hingga USD100, sekali gus menunjukkan nilai ekonomi yang boleh terhasil daripada aktiviti pengurangan dan penyimpanan karbon.
Beliau berkata, perkembangan pasaran bursa berkaitan perdagangan karbon membuka ruang kepada kredit karbon dinilai pada harga lebih tinggi, bergantung kepada pasaran semasa serta kualiti dan kredibiliti kredit yang dihasilkan.
“Nilai kredit karbon bergantung kepada pasaran, tetapi ia boleh mencapai antara USD50 hingga USD100 bagi satu kredit,” katanya.
Potensi nilai itu menjadikan karbon bukan lagi semata-mata komponen alam sekitar, sebaliknya satu aset ekonomi yang mampu menarik pelaburan baharu.
Sarawak di landasan strategik
Kedudukan Sarawak dalam industri berkenaan turut diperkukuh menerusi kerangka perundangan negeri berkaitan perdagangan karbon, selain disokong inisiatif di peringkat nasional sejak 2022.
Langkah itu meletakkan Sarawak pada landasan strategik untuk membangunkan industri karbon secara lebih tersusun, khususnya dengan memanfaatkan kekayaan sumber semula jadi yang dimiliki negeri ini.
Bagi Sarawak, peluang berkenaan dilihat lebih besar kerana negeri ini mempunyai kawasan hutan yang luas, selain hutan bakau dan tanah gambut.
Sarawak ada ‘bank karbon’ semula jadi
Kesemua ekosistem itu mempunyai keupayaan menyerap dan menyimpan karbon dioksida.
Menurut Al-Khalid lagi, keadaan berkenaan memberikan Sarawak kapasiti besar untuk membangunkan apa yang boleh diibaratkan sebagai ‘bank karbon’ semula jadi.
Ujar beliau, pokok menyerap karbon dioksida daripada atmosfera dan menyimpan karbon dalam biojisim serta tanah.
Ujar beliau, pokok menyerap karbon dioksida daripada atmosfera dan menyimpan karbon dalam biojisim serta tanah. Foto hiasan EnvatoOleh demikian, pemeliharaan hutan bukan lagi semata-mata berkaitan konservasi, tetapi boleh menjadi sebahagian daripada strategi ekonomi hijau.
Tanah gambut aset penting Sarawak
Antara kelebihan utama Sarawak ialah kawasan tanah gambut yang berpotensi menyimpan karbon dalam tempoh panjang.
Keupayaan itu menjadikan kawasan berkenaan aset strategik dalam pembangunan sektor penyimpanan karbon.
“Disebabkan tanah di Sarawak, khususnya kawasan tanah gambut, Sarawak boleh menjadi pemain utama penyimpanan karbon di Asia dan seluruh dunia kerana kawasan sebegini boleh menyerap dan menyimpan karbon di bawah tanah dengan lama dan selamat,” katanya.
Namun, potensi itu perlu dimanfaatkan secara berhati-hati supaya aktiviti ekonomi tidak menjejaskan ekosistem yang menjadi asas kepada penyimpanan karbon itu sendiri.
Teknologi buka industri baharu
Selain bank karbon semula jadi, terdapat satu lagi pendekatan iaitu menggunakan teknologi.
Antaranya ialah penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) yang membolehkan karbon dioksida daripada aktiviti industri ditangkap, diproses dan disimpan di lokasi yang sesuai.
Menurut Al-Khalid, perkembangan teknologi berkenaan berpotensi mewujudkan industri baharu di Sarawak.
Rantaian industri itu boleh merangkumi proses menangkap karbon, pemprosesan, penyimpanan dan pengangkutan karbon.
Gabungan aset semula jadi dan teknologi moden sekali gus boleh memperkukuh kedudukan Sarawak dalam ekonomi karbon.
Kredit karbon perlu disahkan
Bagaimanapun, perkembangan perdagangan karbon tidak boleh dipisahkan daripada persoalan kredibiliti.
Industri tidak boleh sekadar mendakwa bahawa mereka sudah mengurangkan atau menyimpan sejumlah karbon tertentu.
Sebaliknya, tuntutan berkenaan perlu melalui proses pengukuran, pelaporan, audit dan pengesahan.
“Perkara ini amat penting. Kita tidak mahu pihak industri mendakwa mereka sudah mengurangkan karbon dioksida dan juga telah menyimpan. Proses audit perlu dibuat dengan sebaik mungkin dan memerlukan kepakaran,” katanya.
Proses pengesahan itu katanya penting bagi memastikan setiap kredit karbon yang didagangkan benar-benar mempunyai asas saintifik dan teknikal.
‘Greenwashing’ ancaman ekonomi karbon
Jika proses audit tidak telus, satu lagi risiko boleh berlaku iaitu greenwashing.
Greenwashing merujuk kepada tindakan industri membina imej seolah-olah mereka mengamalkan operasi hijau, sedangkan proses pengeluaran sebenar masih menghasilkan pelepasan karbon.
Menurut Al-Khalid, perkara itu boleh berlaku apabila tuntutan alam sekitar tidak disokong proses audit yang kukuh.
Sebab itu, pasaran karbon memerlukan tenaga pakar dalam metodologi karbon, pengiraan pelepasan, audit dan pengesahan.
5,000 hingga 10,000 pekerjaan baharu
Di sebalik isu alam sekitar, ekonomi karbon turut menawarkan peluang pekerjaan yang besar.
Al-Khalid menganggarkan antara 5,000 hingga 10,000 peluang pekerjaan baharu berpotensi diwujudkan di Sarawak bagi tempoh 2026 hingga 2030.
Antara bidang yang diperlukan ialah pakar metodologi karbon, auditor, penganalisis pasaran perdagangan karbon, pakar geologi penyimpanan karbon serta tenaga kerja dalam pengurusan data dan perakaunan karbon.
ntara bidang yang diperlukan ialah pakar metodologi karbon, auditor, penganalisis pasaran perdagangan karbon, pakar geologi penyimpanan karbon serta tenaga kerja dalam pengurusan data dan perakaunan karbon. Foto hiasan EnvatoPerkembangan itu menunjukkan ekonomi karbon mampu mewujudkan bidang pekerjaan yang sebelum ini kurang dikenali dalam pasaran pekerjaan.
TVET turut dapat manfaat
Peluang itu bukan hanya untuk golongan profesional.
Bidang TVET turut mempunyai ruang besar dalam ekonomi karbon termasuk juruteknik dron, juruterbang dron, pengatur cara dron, operator sensor IoT dan juruteknik biogas.
Penggunaan dron dan sensor boleh membantu pemantauan hutan, pengumpulan data serta pengesanan perubahan ekosistem.
Ini menjadikan ekonomi karbon satu sektor yang memerlukan tenaga kerja daripada pelbagai tahap kemahiran.
Logistik karbon bakal berkembang
Satu lagi bidang yang berpotensi muncul ialah logistik karbon.
Jika karbon dioksida daripada industri luar negara perlu dihantar ke Sarawak untuk tujuan penyimpanan, satu sistem pengangkutan dan pengendalian khusus diperlukan.
Keadaan itu boleh mewujudkan rantaian industri baharu meliputi pengangkutan, penyimpanan, pemantauan dan pengurusan karbon.
Sarawak bukan sahaja berpotensi menjadi lokasi penyimpanan, malah boleh membangunkan ekosistem industri yang lengkap di sekeliling sektor karbon.
Komuniti luar bandar tidak ketinggalan
Manfaat ekonomi karbon juga boleh diperluaskan kepada komuniti luar bandar.
Masyarakat yang tinggal berhampiran kawasan hutan dan bakau boleh dilatih sebagai renjer hutan, jurupandu, pengawal selia kawasan bakau serta tenaga kerja tapak semaian.
Aktiviti penanaman semula dan ekopelancongan juga boleh dikembangkan sebagai sumber pendapatan komuniti.
Pendekatan itu memastikan masyarakat setempat bukan sekadar menjadi penjaga alam, tetapi turut menerima manfaat ekonomi daripada usaha pemuliharaan.
UNIMAS perkukuh kepakaran tempatan
Selain itu, UNIMAS melalui ISuRe turut memainkan peranan dalam pembangunan kepakaran berkaitan ekonomi karbon ini.
Selain itu, UNIMAS melalui ISuRe turut memainkan peranan dalam pembangunan kepakaran berkaitan ekonomi karbon ini. Foto UNIMASKata Al-Khalid, institut itu mempunyai kepakaran dan felo penyelidik yang dibangunkan untuk memperoleh kompetensi dalam pengiraan kredit karbon dan proses audit karbon.
Kepakaran berkenaan boleh membantu kerajaan negeri serta industri memastikan pembangunan sektor karbon dilaksanakan berdasarkan kaedah pengukuran dan pengesahan yang betul.
Karbon bukan musuh
Pada akhirnya, karbon bukan musuh manusia.
Yang perlu dikawal ialah pelepasan karbon secara berlebihan.
Bagi Sarawak, keadaan itu membuka peluang unik apabila aset alam sekitar seperti hutan, bakau dan tanah gambut berpotensi menjadi asas kepada sektor ekonomi baharu.
Namun, pembangunan ekonomi karbon perlu bergerak seiring dengan pemuliharaan alam sekitar.
Jika dilaksanakan dengan telus, berasaskan sains dan melibatkan komuniti, perdagangan serta penyimpanan karbon mampu menarik pelaburan hijau, mewujudkan pekerjaan dan pada masa sama memastikan khazanah alam Sarawak terus dipelihara.
Seperti ditegaskan Al-Khalid, masa depan ekonomi hijau bukan sahaja milik industri yang menjual kredit karbon, tetapi juga milik komuniti yang menjaga alam sekitar.-TVS

8 hours ago
5








English (US) ·