ADVERTISE HERE
KOTA SAMARAHAN, 27 Sept: Karnival Tok Bok Nyo 3.0 dilihat mampu menjadi platform memperkasa mobiliti sosial masyarakat di Bahagian Samarahan menerusi penyediaan akses kepada pendidikan, kerjaya, kemahiran dan peluang ekonomi.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, penganjuran program seumpama itu perlu diteruskan dan diperbanyakkan kerana mampu memberi ruang kepada masyarakat setempat untuk memperoleh maklumat terkini, informasi serta peluang dalam meningkatkan kesejahteraan kehidupan mereka.
Katanya, usaha memperkukuh mobiliti sosial amat penting sejajar perubahan pesat yang berlaku di bahagian Samarahan yang kini berkembang daripada kawasan luar bandar kepada kawasan pinggiran bandar dengan perubahan ketara dari aspek fizikal dan sosioekonomi.
“Program-program seperti ini perlu diteruskan, perlu diperbanyakkan dalam usaha kita mempertingkatkan apa yang saya sebut mobiliti sosial yang lebih penting untuk Kota Samarahan,” katanya ketika berucap pada Majlis Penangguhan Karnival Tok Bok Nyo 3.0 di sebuah Pusat Membeli-Belah di sini, hari ini.
Ahli Parlimen Kota Samarahan itu berkata, perkembangan di Samarahan turut dapat dilihat menerusi peningkatan jumlah penduduk kepada hampir 200,000 orang selain kemajuan pengangkutan seperti kenderaan Transit Aliran Autonomi (ART), pembesaran jalan raya, bekalan elektrik, bekalan air dan kemudahan awam lain.
Menurutnya, perubahan sosioekonomi kawasan Samarahan turut menyaksikan masyarakat tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada kaedah pertanian sara diri, sebaliknya terlibat dalam aktiviti ekonomi yang lebih luas termasuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta sektor komersial.
Beliau berkata, penganjuran Karnival Tok Bok Nyo 3.0 turut membantu dalam memberikan pendedahan berkaitan kerjaya dan pendidikan dalam membantu golongan muda membuat pilihan dalam melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi berdasarkan keperluan industri serta peluang pekerjaan yang tersedia.
“Perubahan ketara dari aspek pembangunan fizikal dan sosioekonomi kawasan itu turut mengubah keperluan masyarakat, khususnya dalam aspek pendidikan dan peluang pekerjaan.Masyarakat Samarahan kini tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada ekonomi pertanian sara diri, sebaliknya semakin terlibat dalam perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta sektor komersial.
“Media sosial memainkan peranan, internet, kita ada akses dimana-mana. Kalau kita lihat, kalau kita tengok perkembangan di kawasan kita. Jadi sudah semestinya kita latih orang-orang kita (penduduk Samarahan) dengan proses perubahan ini. Maksudnya kita perlu fokuskan, kualiti orang-orang kita, ” katanya.
Ujarnya lagi, lebih banyak program berkaitan pembangunan kerjaya perlu dilaksanakan bagi memberikan pendedahan kepada pelajar mengenai bidang pendidikan dan pekerjaan yang bersesuaian dengan keperluan industri.
Katanya, golongan muda tidak seharusnya membuat pilihan pendidikan hanya berdasarkan pengaruh rakan atau keluarga, sebaliknya perlu mendapatkan maklumat mengenai bidang yang mempunyai permintaan dalam pasaran pekerjaan.
Dalam pada itu, Rubiah berkata, berdasarkan laporan World Economic Forum (2020), sebanyak 170 juta peluang pekerjaan baharu dijangka diwujudkan menjelang 2030, manakala sekitar 90 juta pekerjaan sedia ada dijangka hilang, sekali gus menuntut masyarakat khususnya golongan muda bersedia menghadapi perubahan landskap pekerjaan dan memahami keperluan pasaran semasa.
Beliau turut menekankan kepentingan membantu golongan yang mempunyai bakat dan kemahiran tetapi mungkin tidak berkemampuan meneruskan pendidikan ke peringkat lebih tinggi menerusi saluran pendidikan TVET supaya potensi mereka dapat disalurkan kepada bidang yang bersesuaian. -TVS

8 hours ago
5








English (US) ·