ADVERTISE HERE
KUCHING, 23 Sept: Kaunselor sekolah memainkan peranan penting dalam memastikan pelajar mendapat panduan kerjaya yang tepat dan relevan dengan perubahan ekonomi semasa, kata Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn.
Beliau berkata, antara cabaran utama yang dikenal pasti hasil libat urus sebelum ini termasuk kekangan kewangan, kurangnya pendedahan terhadap laluan kerjaya yang jelas serta peranan ibu bapa dalam membentuk pilihan pelajar selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Para kaunselor sekolah perlu kembali ke sekolah masing-masing dan menyemak semula sukatan panduan kerjaya. Perbaharuinya serta pastikan ia relevan dengan pekerjaan yang bakal diceburi oleh pelajar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan majlis penutupan Sistem Pesanan Kerjaya (SPEAK): Talent Bridge 2030 Siri Kuching, di sini, hari ini.
Menurut Sagah, kaunselor sekolah juga perlu lebih peka terhadap perubahan pasaran pekerjaan kerana masih terdapat kebergantungan kepada maklumat kerjaya lama dan tajuk pekerjaan umum yang tidak lagi mencerminkan perkembangan ekonomi moden.
Jelasnya, panduan kerjaya perlu mengambil kira kemunculan peluang baharu dalam bidang berkemahiran tinggi serta keperluan industri masa hadapan.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan pembangunan bakat tidak seharusnya terhenti selepas seseorang memperoleh kelayakan akademik, sebaliknya perlu diteruskan melalui peningkatan kemahiran dan latihan praktikal yang memenuhi keperluan industri.
“Memiliki ijazah universiti sahaja tidak mencukupi. Kita perlu meningkatkan kemahiran melalui latihan tambahan dan pengalaman praktikal dalam industri,” ujarnya. – TVS

51 minutes ago
4








English (US) ·