ADVERTISE HERE
JAKARTA, 26 Sept: Kebakaran hutan yang memusnahkan kawasan hutan tropika yang luas di Borneo, Indonesia, kini memberi tekanan lebih besar terhadap populasi orang utan Borneo yang berdepan risiko kepupusan kritikal.
Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN) dalam kenyataan hari ini berkata kebakaran yang berlaku di beberapa kawasan di Borneo dan Sumatera sejak beberapa minggu lalu turut menyebabkan jerebu tebal merentasi kepulauan berkenaan serta merebak ke Malaysia dan Singapura.
Menurut IUCN, kebakaran ketika ini berlaku dalam habitat yang menempatkan kira-kira 52 peratus populasi orang utan Borneo, termasuk 13 daripada 20 populasi terbesar yang masih wujud.
Keadaan itu bukan sahaja mengancam habitat, malah memberi kesan terhadap kesihatan dan kelangsungan hidup orang utan yang terdedah kepada asap kebakaran.
IUCN berkata, ketika jerebu, orang utan menunjukkan tanda kehilangan lemak badan walaupun mengambil lebih banyak makanan dan menghabiskan lebih banyak masa berehat.
Keadaan itu dipercayai berkaitan peningkatan keperluan tenaga apabila sistem imun mereka bekerja lebih keras untuk menghadapi kesan pencemaran asap.
Selain orang utan, kebakaran hutan turut dilaporkan berlaku dalam habitat lima spesies ungka di Sumatera dan Borneo.
IUCN berkata, ungka turut terdedah kepada udara yang dipenuhi asap seperti komuniti manusia yang tinggal berhampiran habitat mereka, selain berdepan kehilangan habitat serta gangguan terhadap tingkah laku semula jadi yang penting bagi kelangsungan populasi liar.
Sehingga Selasa lalu, Kementerian Perhutanan Indonesia memaklumkan sebanyak 100 haiwan berjaya diselamatkan daripada kawasan yang terancam kebakaran, termasuk 53 orang utan.
Bagaimanapun, pertubuhan pemuliharaan menggesa pihak berkuasa tidak hanya memberi tumpuan kepada operasi menyelamat ketika kebakaran berlaku, sebaliknya memperkukuh langkah pencegahan bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
Ronna Saab daripada Forum Konservasi Orangutan Indonesia (FORINA) berkata tindakan kecemasan perlu disusuli pelaburan berterusan dalam usaha mencegah kebakaran pada masa depan.
Antara langkah yang dicadangkan termasuk melindungi dan membasahkan semula kawasan tanah gambut, menangani masalah saliran serta penebangan hutan dan memastikan kawasan hutan yang terbakar tidak ditukar kepada kegunaan lain.
Beliau berkata kawasan hutan yang terjejas juga perlu dipulihkan dengan kaedah bersesuaian.
Kerajaan Indonesia sebelum ini memaklumkan lebih 202,000 hektar tanah terbakar di seluruh negara antara Januari hingga Julai lalu berdasarkan data terkini yang tersedia.
Bagaimanapun, projek Nusantara Atlas menganggarkan keluasan kawasan terbakar lebih besar, iaitu hampir 900,000 hektar antara Januari hingga Ogos lalu.

23 hours ago
1







English (US) ·