ADVERTISE HERE
BANGKOK, 27 Sept: Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok menyalurkan bantuan makanan kering kepada 10 rakyat Malaysia dan Kakitangan Ambilan Tempatan yang terjejas secara langsung akibat banjir di ibu negara Thailand.
Duta Besar Malaysia ke Thailand Datuk Wan Zaidi Wan Abdullah berkata bekalan makanan kering yang tahan lama dan mudah disimpan diagihkan kepada mangsa pada Ahad.
“Sumbangan telah diserahkan kepada 10 penerima yang dikenal pasti terjejas secara langsung dalam banjir yang terdiri daripada Kakitangan Ambilan Tempatan kedutaan serta warganegara Malaysia di kawasan sekitarnya,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata bantuan itu merupakan langkah intervensi dan bantuan kecemasan awal bagi meringankan beban mereka yang berdepan gangguan bekalan makanan dan keperluan asas harian akibat banjir.
Beliau berkata inisiatif itu juga mencerminkan keprihatinan Kedutaan Besar Malaysia terhadap kebajikan rakyat Malaysia dan kakitangannya yang terjejas.
Misi penyerahan bantuan makanan itu diterajui Wan Zaidi selaku ketua perwakilan, manakala proses pengagihan dan penyelarasan di lapangan diketuai Atase Pertahanan Malaysia ke Thailand Brig Jen Datuk Samsul Rizal Musa.
Misi penyerahan bantuan berkenaan dilaksanakan bermula 10 pagi hingga 7 malam pada Ahad.
Sementara itu, Wan Zaidi berkata pihak kedutaan akan terus memantau perkembangan situasi banjir di Bangkok dan menyalurkan bantuan sewajarnya kepada rakyat Malaysia serta kakitangan kedutaan yang terjejas.
Beliau turut menasihatkan rakyat Malaysia di kawasan terjejas supaya sentiasa berwaspada susulan jangkaan hujan berterusan sehingga 30 Sept dan merujuk nasihat perjalanan rasmi yang dikeluarkan kedutaan dari semasa ke semasa. -TVS

6 hours ago
7








English (US) ·