ADVERTISE HERE
SHAH ALAM: Kerajaan belum berhasrat mewujudkan aplikasi khusus seperti Truecaller sebagai satu daripada langkah meningkatkan keselamatan digital dalam talian, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.
Fahmi berkata hal ini berikutan ketika ini sudah terdapat sejumlah aplikasi dalam pasaran yang boleh digunakan dan dimanfaatkan oleh pengguna di Malaysia bagi tujuan berkenaan.
Selain itu, katanya sebarang perolehan berkenaan teknologi maklumat (IT) atau digital perlu diputuskan oleh Jabatan Digital Negara di bawah Kementerian Digital.
“Ini untuk kita pastikan setiap perbelanjaan wang ringgit rakyat dilakukan dengan baik dan cermat tanpa membazir. Jadi, saya ambil maklum cadangan membina aplikasi sendiri itu dan ada beberapa perkara yang saya akan bincangkan nanti,“ katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan seorang pelajar dalam Program Siri Syarahan Menteri Bertajuk “Literasi Keselamatan Digital” yang dianjurkan oleh Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam di sini hari ini.
Mengulas tentang literasi keselamatan media sosial di kawasan terpencil di Sabah dan Sarawak pula, Fahmi berkata beliau telah mengarahkan pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) supaya segera mengadakan program literasi di lokaliti terbabit sejurus kawasan itu disediakan kemudahan Internet.
Beliau berkata program literasi ini penting untuk memastikan kemudahan Internet digunakan secara selamat dan komuniti tidak menjadi mangsa penjenayah dalam talian yang semakin membimbangkan.
Siri Syarahan Menteri itu dihadiri oleh 500 pelajar UiTM selain jemputan khas termasuk Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamed Fauzi Md Isa, Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj.
Program itu diadakan sebagai sebahagian daripada acara sambutan ulang tahun ke-25 UiTM sebagai sebuah universiti.