Kerangka 3-7-20 perkasa syarikat Bumiputera Sarawak ke peringkat lebih tinggi

6 hours ago 4
ADVERTISE HERE

PUTRAJAYA, 28 Sept: Sarawak terus memperkukuh agenda pembangunan Bumiputera menerusi kerangka strategik 3-7-20.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, kerangka itu antaranya memberi tumpuan kepada penyenaraian syarikat Bumiputera di Bursa Malaysia, pembangunan Regional Business Champions serta penskalaan perusahaan mikro kepada syarikat Sendirian Berhad.

Jelas beliau ini turut memfokuskan tumpuan kepada pengembangan perusahaan tempatan sehingga mampu menembusi pasaran modal dan berkembang ke peringkat serantau serta global.

“Usaha berkenaan telah mencatat pencapaian apabila United Asiapac Energy Berhad berjaya disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 14 September lalu dengan permodalan pasaran RM192.50 juta.

“Penyenaraian itu turut berjaya memperoleh dana berjumlah RM48.74 juta.

“Sembilan lagi syarikat Bumiputera Sarawak telah dikenal pasti ke arah penyenaraian, termasuk dua yang disasarkan pada tahun 2027,” katanya menerusi kenyataan media Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED) hari ini.

Terdahulu Awang Tengah menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Majlis Ekonomi Bumiputera (JPMEB) Bilangan 2/2026 di Putrajaya, pada Isnin.

Mensyuarat berkenaan dipengerusikan Turut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi JPMEB.

Dalam pada itu, beliau berkata Sarawak akan memperluas penyertaan Bumiputera dalam sektor pertumbuhan tinggi termasuk hidrogen, petrokimia, pembuatan termaju, aeroangkasa dan semikonduktor selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).

Kerajaan Sarawak jelas beliau pada masa sama menggalakkan kerjasama antara syarikat Bumiputera dan bukan Bumiputera menerusi usaha sama, perkongsian teknologi, pembangunan vendor serta akses pasaran.

“Pendekatan itu bertujuan membentuk ekosistem perniagaan Sarawak yang lebih inklusif dan saling melengkapi, selain membuka peluang kepada syarikat tempatan untuk berkembang dalam rantaian bekalan serantau dan global.

“Aspek pembangunan bakat pula terus diperkukuh menerusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di CENTEXS dan Sarawak Skills serta kerjasama dengan agensi Persekutuan,” ujarnya.

Kerajaan Sarawak turut memperuntukkan RM250 juta bagi pelaksanaan Skim Pendidikan Tinggi Percuma (Free Tertiary Education Scheme) mulai tahun ini.

Kerjasama antara Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan serta sektor swasta dijangka terus diperkukuh bagi membangunkan ekosistem perusahaan tempatan yang lebih berdaya saing dan membolehkan lebih banyak syarikat Sarawak berkembang ke peringkat serantau dan global. – TVS

Read Entire Article