ADVERTISE HERE
MIRI, 1 Okt: Penglibatan aktif dalam kegiatan kokurikulum dan penguasaan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) penting dalam membentuk sahsiah serta mempersiapkan pelajar menghadapi keperluan pekerjaan masa depan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dato Dennis Ngau berkata, kokurikulum bukan sekadar aktiviti tambahan di sekolah, sebaliknya membantu membentuk disiplin, kepimpinan, kerjasama, ketahanan diri dan rasa tanggungjawab dalam kalangan pelajar.
Menurut beliau, kejayaan seseorang pelajar tidak seharusnya diukur berdasarkan pencapaian akademik semata-mata, tetapi turut merangkumi karakter, nilai diri, keyakinan dan keupayaan bekerja dalam pasukan.
“Akademik mengajar kita ilmu, tetapi kokurikulum mengajar kita disiplin, kepimpinan, kerjasama, ketahanan diri dan tanggungjawab,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Kokurikulum dan Hal Ehwal Pelajar (HEM) 2026 di Kolej Tun Datu Tuanku Haji Bujang, di sini, hari ini.
Beliau berkata, penguasaan STEM pula semakin penting selaras dengan perkembangan ekonomi Sarawak yang memberi tumpuan kepada teknologi hijau, tenaga boleh diperbaharui, digitalisasi, inovasi, automasi dan bidang berasaskan data.
Jelas beliau, pelajar perlu mula memikirkan kemahiran yang diperlukan untuk pekerjaan dalam tempoh lima, 10 hingga 20 tahun akan datang, bukannya hanya melihat peluang pekerjaan yang tersedia pada masa kini.
“STEM bukan sekadar tentang subjek sains, matematik dan teknologi di sekolah, tetapi tentang mempersiapkan kamu untuk pekerjaan dan ekonomi masa hadapan,” katanya.
Tambah beliau, pelajar juga perlu menguasai Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris bagi mengukuhkan kemahiran Matematik dan Sains serta membina kemahiran komunikasi dan kepimpinan.
“Belajar bersungguh-sungguh, kuasai Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu, kuatkan Matematik dan Sains, celik teknologi, bina kemahiran berkomunikasi dan kepimpinan serta aktif dalam kokurikulum,” katanya.
Dalam majlis itu, seramai 91 pelajar diraikan atas pencapaian cemerlang dalam bidang kokurikulum dan hal ehwal pelajar. – TVS

2 hours ago
5








English (US) ·