Komuniti Bahá’í Sarawak perkukuh perpaduan dalam kepelbagaian

36 minutes ago 6
ADVERTISE HERE

KUCHING, 25 September:Komuniti Bahá’í Sarawak terus memainkan peranan dalam memperkukuh perpaduan, keharmonian dan sikap saling menghormati dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama di negeri ini sepanjang 75 tahun kewujudannya.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, sumbangan komuniti itu turut menyokong usaha membina masyarakat yang lebih kukuh, prihatin dan bersatu.

“Melalui institusi unik ini, kerajaan Sarawak terus menyokong komuniti agama dalam melaksanakan aktiviti serta memperkukuh hubungan antara agama demi kepentingan semua rakyat Sarawak. Ajaran Bahá’í mengenai perpaduan turut selari dengan prinsip yang dekat dengan kehidupan masyarakat Sarawak, iaitu perpaduan bukan bermaksud keseragaman, sebaliknya perpaduan dalam kepelbagaian.

“Kepelbagaian kaum, agama, bahasa dan tradisi budaya merupakan antara kekuatan terbesar Sarawak, namun rakyatnya tetap bersatu melalui identiti sebagai rakyat Sarawak, sikap saling menghormati serta aspirasi bersama untuk keamanan, kestabilan dan kemakmuran.

“Prinsip ini juga selari dengan usaha Kerajaan Sarawak melalui Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) untuk menyatukan rakyat sambil meraikan kepelbagaian yang memperkayakan masyarakat,” katanya ketika berucap pada Sambutan Naw-ruz Peringkat Sarawak Dan Ulang Tahun Ke-75 Komuniti Baha’i Di Sarawak di Kuching pada Jumaat.

Teks ucapan beliau dibaca oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian yang mewakilinya pada majlis itu.

Abang Johari berkata, keharmonian yang dinikmati Sarawak bukan berlaku secara kebetulan, sebaliknya dipupuk sejak beberapa generasi menerusi sikap saling menghormati, bertolak ansur serta menghargai kepercayaan dan tradisi masyarakat yang berbeza.

Menurutnya, kemajuan Sarawak tidak seharusnya diukur hanya berdasarkan pertumbuhan ekonomi, pembangunan infrastruktur dan kemajuan teknologi, sebaliknya turut mengambil kira kekuatan rakyat, ketahanan komuniti serta nilai yang menyatukan masyarakat.

Beliau berkata, pembangunan bermakna ialah pembangunan yang meningkatkan kesejahteraan rakyat, mengukuhkan institusi keluarga, membina komuniti penyayang serta menyediakan peluang kepada setiap individu untuk menyumbang kepada kepentingan bersama.

Sambutan tersebut turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar beserta isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.-TVS

Read Entire Article